KUALA LUMPUR: Selangor meraih tiga mata berharga selepas menundukkan T-Team 4-2 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, malam tadi. Ia adalah kemenangan kelima Selangor musim ini untuk sekali gus mengumpul 20 mata selepas 14 perlawanan.
Bagi T-Team pula, kegagalan membawa pulang sebarang mata menyaksikan mereka kekal di kedudukan kelapan dengan 16 mata. Pada perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan jaringan sepanjang babak pertama walaupun memiliki beberapa peluang.
Selangor terpaksa menunggu hingga minit ke-53 untuk berada di depan hasil jaringan pemain muda, Muhammad Syahmi Safari.
Jaringan pendahuluan itu jelas memberi semangat buat skuad The Red Giants apabila menambah satu lagi gol dua minit kemudian menerusi Francis Forkey Doe.
Dilshod Sharofetdinov bagaimanapun berjaya merapatkan jurang gol buat T-Team pada minit ke-72 selepas berlaku kelam kabut di depan pintu gol Selangor.
Namun, kedudukan itu hanya bertahan 10 minit apabila Rufino Segovia menambah gol ketiga Selangor sebelum Muhammad Syahmi meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-85.
T-Team tampak belum menyerah kalah dan mereka berjaya mendapat gol kedua menerusi Yannick N'Djeng yang menyudahkan sepakan penalti dua minit sebelum perlawanan tamat. - Berita Harian