Terengganu Teruja Bertemu Johor Darul Takzim


Kuala Terengganu: “Pemain kami tidak gentar berdepan Johor Darul Takzim (Johor DT) sebaliknya teruja kerana lawan bukan saja pasukan terkuat Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini malah pernah menjulang Piala AFC,” kata pengendali Terengganu Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata, kejayaan mengikat naib juara Piala Malaysia musim lalu Selangor dengan keputusan 1-1, Selasa lalu menjadi tonik tambahan buat anak buahnya untuk mengejutkan pendahulu Liga Super itu apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

“Bukan mudah untuk kami mengatasi Johor DT biarpun beraksi di laman sendiri tapi saya sudah menyediakan taktikal bersesuaian termasuk membuat analisis melalui tayangan video.

“Selain itu, kami juga turut mendapat maklumat beberapa jurulatih berkaitan corak permainan Johor DT.

“Oleh itu, pemain skuad Penyu sudah bersedia untuk bermain biarpun rekod pertemuan pada 2016 menyebelahi pasukan lawan.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna kami akan menghormati Johor DT yang juga pendahulu Kumpulan D buat masa ini, sebaliknya pemain kami bertekad mahu menumbangkan mereka sekali gus mengutip tiga mata di depan penyokong sendiri,” kata pengendali berusia 66 tahun itu.

Mengulas lanjut, Irfan percaya hasrat untuk menjinakkan Johor DT bukan mustahil sekiranya semua pemainnya dapat menunjukkan karakter sebenar masing-masing.

“Selain menuntut pemain memperaga aksi terbaik, saya juga harap penyokong tegar Terengganu dapat turun beramai-ramai ke stadium malam (esok) ini.

“Kehadiran mereka begitu berharga dan bakal menyemarakkan semangat pemain untuk mengharungi perlawanan penting ini,” katanya. - HM