Kuala Terengganu: Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi Kumpulan D, Piala Malaysia di Kuala Terengganu, malam ini.
Kedua-dua pasukan tampil berhati-hati sehingga percubaan pertama hadir minit ke-10 menerusi asakan tuan rumah yang menyaksikan percubaan Azi Shahril Azmi tepat ke dakapan penjaga gol, Muhammad Haziq Nazli.
Terengganu terus yakin mencorak serangan pada minit ke-26, namun rembatan leret Kipre Tchetche gagal menepati sasaran.
Beraksi tanpa kesemua tonggak import, JDT cuba mengimbangi permainan dan peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-34, malangnya sepakan Nazmi Faiz Mansor terkena tiang.
Seminit kemudian, kubu tuan rumah diuji lagi dan penjaga golnya, Mohd Suffian Rahman, tangkas menyelamatkan percubaan Azamuddin Akil.
Mohd Suffian terus cemerlang menepis asakan Darren Lok pada minit ke-38 selepas penyerang itu melepasi perangkap ofsaid tuan rumah.
Permainan terus rancak apabila Tchetche hampir memecahkan kebuntuan (m-41) untuk Terengganu sebelum tiang menjadi penghalang.
Bersambung babak berikutnya, kelekaan pertahanan Terengganu hampir dihukum Azamuddin yang menyaksikan rembatannya pada minit ke-48 tersasar ke sebelah kanan penjaga gol lawan.
Giliran Terengganu menguji kubu JDT menyusul pada minit ke-59 melalui serangan balas, malangnya gagal disudahkan dengan baik oleh Mohd Firdaus Faudzi.
Kemasukan penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri, menambah sengat JDT yang menyaksikan hantarannya pada minit ke-70 menemui Muhammad Safawi Rasid tetapi rembatan deras bekas pemain T-Team itu tinggi melepasi pintu gol tuan rumah.
Meskipun memperoleh beberapa peluang selepas itu, kedua-dua pasukan terus buntu mencipta gol kemenangan dan kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat. - Arena