T-Team Akhiri Kemarau Kemenangan Tewaskan Kelantan



Kuala Terengganu: PASUKAN berstatus kelab T-Team berjaya mencipta kejutan apabila bangkit meraih tiga jaringan dalam masa tujuh minit untuk meraih kemenangan mutlak 3-1 ketika turun melayan kunjungan Kelantan dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Klik untuk play video dibawah ini

Lebih manis kejayaan itu turut menampilkan skuad kendalian Rahmad Darmawan mengenakan jersi baharu pasukan tajaan Mizuno pada aksi sengit di hadapan penyokong skuad The Titans.

Pada perlawanan itu, kem tuan rumah bermula garang apabila terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi rembatan tepat Mahamadou Samassa seawal minit kedua permainan hasil hantaran kemas Ooi Shee Keng, namun berjaya dinafikan Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Gawang The Red Warrior terus diuji dengan beberapa percubaan merbahaya menerusi Joseph Yannick (minit 5), Mohd Hassan Basri (minit 6) dan Mohd Nor Hakim Hassan tetapi Mohamad Ramdhan terlebih dahulu menyekat hajat kem tuan rumah untuk meraih gol awal.

Kelantan yang cuba bangkit mengatur serangan menerusi penyerang importnya, Abou Bakar Al Mel bagaimanapun gagal melepasi benteng pertahanan skuad The Titans yang dikawal rapi kapten pasukan Mohamad Hasbullah Awang dan gandingannya, Abdoulaye Youssouf Maiga.

Begitupun Kelantan hampir membuka jaringan menerusi gerakan solo Mohamad Qayyum Marjoni Sabil, namun percubaannya dari kiri gawang gol tuan rumah gagal menepati sasaran pada minit ke-19.

Enam minit berselang giliran skuad The Titans kembali mengasak benteng pertahanan pelawat dan Mohd Nor Hakim Hassan hampir menceriakan kem tuan rumah apabila bijak menyambut hantaran silang Dilshod Sharofetdinov, bagaimanapun rembatannya sekadar melambung tinggi.

Skuad kendalian Zahasmi Ismail yang menggandakan asakan dilihat berpeluang untuk berada di depan pada minit ke-36 apabila Mohd Khairul Izuan Rosli bijak melakukan hantaran kemas ke kanan pintu gol tetapi gagal disempurnakan dengan cemerlang Mohd Nor Farhan Muhammad.

Usaha tuan rumah dalam menamatkan penantian gol turut berdepan kegagalan apabila percubaan dari luar kotak penalti Mohd Asrol Ibrahim mudah didakap kemas penjaga gawang Kelantan.

Kedua-dua pasukan terus buntu dalam mencari jaringan sehingga membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua memperlihatkan masing-masing memperkemaskan rentak permainan dan pasukan pelawat nyaris menamatkan penantian gol menerusi rembatan deras, Abou Bakar Al Mel pada minit ke-49 tetapi berjaya ditepis keluar Mohd Suhaimi Husin.

Tiga minit selepas itu giliran tuan rumah pula cuba menguji gawang pelawat menerusi hantaran Mohd Nor Hakim Hassan bagaimanapun gagal dimanfaatkan Mohd Asrol Ibrahim apabila rembatannya hanya mengenai sisi kiri pintu gol Kelantan.

Minit ke-57 kem tuan rumah sekali lagi gagal menyempurnakan peluang keemasan untuk berada di depan menerusi sepakan leret Mohd Nor Hakim Hassan yang dilakukan dengan lemah ketika bergelut di depan gawang Kelantan.

Sebaliknya, kem pelawat yang sesekali melakukan serangan balas akhirnya menemui sentuhan penyudah apabila Mohd Khairul Izuan Rosli berjaya meledakkan gol pembukaan buat Kelantan pada minit ke-63 hasil hantaran leret Mohamad Qayyum Marjoni Sabil.

Tuan rumah yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan hadir pada minit ke-71 menerusi Dilshod Sharofetdinov bagaimanapun gagal menemui pintu gol apabila rembatannya sekadar melambung tinggi.

Dua minit berselang kem tuan rumah sekali lagi gagal memanfaatkan peluang di depan gawang pelawat apabila Mohamad Ramdhan Ab Hamid berjaya menafikan hajat T-Team menerusi percubaan Jospeh Yannick hasil hantaran Mohd Nor Hakim Hassan.

Beraksi di dalam hujan lebat tidak mematahkan semangat kem tuan rumah untuk mencari jaringan penyamaan apabila Dilshod Sharofetdinov berjaya mengikat kedudukan 1-1 selepas menyempurnakan hantaran Ooi Shee Keong pada minit ke-79.

T-Team yang kembali bersemangat dalam memburu jaringan akhir berjaya berada di depan menerusi tandukan cantik pemain gantian Muhammad Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-84 setelah menerima hantaran kemas Syed Sobri Syed Mohd.

Dua minit selepas itu, Joseph Yannick terus menceriakan kem tuan rumah apabila mengukuhkan kedudukan T-Team menerusi jaringan ketiga sekali gus menewaskan Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Kelantan yang cuba bangkit untuk mencari jaringan penyamaan akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila kem tuan rumah terus menggenggam tiga mata berharga di hadapan penyokong sendiri. - Sinar Harian