Sultan Mizan Zainal Abidin & Khairy Jamaluddin Sah Sertai Sukan SEA


Kuala Lumpur: SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sah akan beraksi pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Ogos nanti.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang memberitahu, kedua-dua nama besar tersebut bakal beraksi pada acara ekuestrian.

Ia turut menyaksikan Khairy akan menjadi menteri pertama di rantau Asia Tenggara yang membuat penampilan pada acara dwitahunan tersebut.

“Yang Berhormat Menteri (Khairy) akan beraksi dalam acara polo manakala Tuanku Mizan bagi endurance. Bagaimanapun kedua-duanya tidak termasuk dalam program ‘Kita Juara’ kerana mereka hanya terlibat dalam program tersebut pada fasa ketiga sahaja,” katanya pada Majlis Pengumuman Senarai Kontinjen Malaysia ke KL2017 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur semalam.

Dalam perkembangan sama, Presiden Persekutuan Sukan SEA (SGF), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar menjelaskan, penyenaraian nama tersebut telah diterima daripada Persatuan Ekuestrian Malaysia.

“Saya rasa ia adalah bagus kerana setiap individu yang layak untuk bertan­ding perlu ada masa menjalani latihan dan menerima lampu hijau daripada persatuan acara berkenaan. Berhubung dengan proses pemilihan, perkara utama yang MOM mahu lihat ialah proses itu dilakukan dengan sempurna.

“Jika persatuan ber­kenaan bersetuju untuk memberi peluang kepada atlet yang mereka mahukan beraksi, kami (MOM) akan bersetuju kerana kami tidak mahu mencampuri urusan mereka yang sudah pasti mempunyai sebab dan alasan tentang pemilihan atlet ini,” jelas Tunku Imran.

Sebagai rekod, pada maj­lis berkenaan kontinjen negara turut diumumkan sebagai kumpulan terbesar KL2017 dengan penyertaan 874 orang atlet disusuli juara bertahan, Thailand yang mengesahkan kehadiran kontinjen kedua terbesar iaitu seramai 858 orang atlet.

Biarpun dilihat bakal berdepan tentangan hebat dari Thailand untuk me­rebut gelaran juara ke­seluruhan, Tunku Imran mengakui pihaknya tidak bimbang dengan perkara tersebut sambil menyifatkan ia akan mewujudkan persaingan sihat.

“Saya rasa ia adalah satu persaingan yang sihat. Tetapi anda perlu faham bahawa sukan sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Acara yang dipertandingkan pada sukan SEA kali ini ada yang tidak dipertandingkan pada temasya sebelum ini.

“Bagi Malaysia, ia adalah petanda yang baik kerana dalam semua acara dipertandingkan nanti, mereka akan ada lawan yang setanding. Justeru mereka perlu beraksi de­ngan kompetitif,” ujarnya.