KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu akan melaksanakan operasi pemutihan terhadap mana-mana pemilik rumah yang menyalahgunakan pemberian subsidi melalui Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata beliau telah menerima aduan terdapat segelintir pemilik RMM yang tidak tinggal di rumah itu sebaliknya menyewakannya kepada orang lain atau menjadikannya sebagai rumah inap desa untuk disewa.
"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka memiliki rumah itu dengan subsidi kerajaan. Menyalahgunakan kemudahan ini menyebabkan kerajaan tidak dapat mencapai matlamat asal program subsidi RMM untuk membantu mereka yang layak.
Sebab itu saya sudah mengarahkan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) mengambil tindakan terhadap pemilik rumah ini dengan memulangkannya semula agar boleh diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Penyayang dan Sambutan Aidilfitri Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud dan Pengarah JKNT, Dr Mohammad Omar.
Selain itu, Ahmad Razif berkata PMINT juga akan membuat saringan kepada pemilik RMM yang masih belum menduduki rumah mereka tanpa sebab yang munasabah supaya mengembalikannya kepada PMINT.
"Ini kerana masih ramai rakyat Terengganu yang masih belum memiliki rumah berminat mahu menduduki RMM yang masih kosong kerana tidak diduduki pemilik sebenar," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Razif berkata 5,900 lot tanah yang akan mula diiklankan pada 1 Ogos nanti akan memberi keutamaan kepada golongan yang layak.
"Mereka mestilah berusia antara 21 hingga 40 tahun dengan pendapatan bulanan bawah RM2,500 serta sudah berkahwin.
"Syarat seterusnya mereka tidak pernah memiliki apa sahaja rumah hasil subsidi kerajaan seperti RMM, rumah kos rendah atau rumah di projek perumahan rakyat termiskin (PPRT)," katanya.
Ahmad Razif berkata kegagalan mereka membina rumah dalam tempoh tiga tahun selepas menerima tanah itu boleh menyebabkan tanah berkenaan dirampas kembali oleh kerajaan negeri.
"Kita mahu mereka yang benar-benar layak, terima lot tanah percuma ini agar keperluan asas mereka dapat dipenuhi untuk kehidupan yang lebih selesa.
Keutamaan juga diberi kepada keluarga yang duduk beramai-ramai dalam sebuah rumah kerana tidak boleh menyewa rumah pada harga di luar kemampuan mereka," katanya.- BERNAMA