Perjalanan Liga Perdana Masih Jauh - Irfan Bakti


Kuala Terengganu: Itu kata pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, selepas menyaksikan pasukannya melonjak ke kedudukan kedua Liga Perdana hasil kemenangan 4-0 ke atas Perlis, baru-baru ini.

Menurut Irfan, mereka perlu berwaspada dengan berbaki enam perlawanan, lima daripadanya adalah di gelanggang lawan.

Menyedari cabaran yang dihadapi Terengganu, ketua jurulatih berpengalaman itu turut mengingatkan pemain-pemain agar tidak mudah berasa selesa untuk mengekalkan momentum kemenangan.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan empat jaringan ini walaupun sebenarnya boleh menang lebih besar.

“Kami masih mencari-cari rentak dalam 25 minit pertama sehinggalah gol pendahuluan dicipta dan mula beraksi dengan baik,” ujarnya selepas perlawanan itu.

Turun selaku tuan rumah, Terengganu memperoleh peluang pertama pada minit ke-12 melalui gerakan solo Issey Farran Nakajima yang menyaksikan sepakan leretnya tersasar.

Enam minit kemudian, seorang lagi import Terengganu, Gabriel Davis dos Santos, menguji kubu Perlis tetapi percubaannya dari luar kotak penalti tepat ke dakapan penjaga gol lawan, Mohd Jibrail Kamaron Baharin.

Sang Penyu mendahului pada minit ke-26 selepas dos Santos menyambung sepakan percuma Mohd Faiz Mohd Nasir dari sebelah kanan.

Gol itu menyuntik semangat kem tuan rumah dengan serangan bertali arus oleh Kipre Tchetche (m-33) dan Issey (m-41), namun cemerlang dinafikan Mohd Jibrail.

Tcetche akhirnya menemui jaringan pertamanya bersama Terengganu apabila bijak menolak masuk hantaran pendek Issey pada minit ke-42 untuk membawa kedudukan 2-0 ke bilik persalinan.

Tiga minit bersambung dalam babak kedua, Lazaro Vinicious menjaringkan gol ketiga pasukannya hasil penyudah dari sepakan penjuru J. Partiban.

Perlis cuba memberi saingan menerusi Famirul Asraf Sayuti pada minit ke-49, malangnya sepakan pemain tengah itu ditepis penjaga gol tuan rumah, Mohd Suffian Rahman.

Dos Santos memiliki dua peluang pada minit ke-63 dan minit ke-67 untuk melebarkan jurang buat Terengganu, begitupun percubaan pemain kelahiran Brazil itu gagal menepati sasaran.

Asakan berterusan Terengganu membawa kepada jaringan keempat oleh pemain gantian, Mohd Ridzuan Abdunloh, hasil rembatan lencong pada minit ke-79.

Terengganu kini mengumpul 34 mata, hanya satu mata di belakang pendahulu, Kuala Lumpur, dengan aksi seterusnya akan menemukan dua pasukan itu, minggu depan. - Arena