Malaysia B-22 benam Myanmar B-22 di Shah Alam


Shah Alam: Walaupun hanya sempat berlatih sehari bersama kesemua 26 pemain, namun ia tidak menyekat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee melakar kemenangan 2-0 ke atas pasukan bawah 22 tahun Myanmar dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Klik untuk play video dibawah ini


Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara dipalit isu pelepasan pemain dengan enam pemain tonggak masih belum melaporkan diri meskipun Kejohanan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, Thailand bakal berlangsung 19 hingga 23 Julai ini.

Bagaimanapun, aksi di Shah Alam seakan-akan membuktikan anak buah Kim Swee tidak terkesan dengan masalah tersebut apabila mempamerkan aksi cemerlang.

Malaysia membuka tirai jaringan selepas hampir setengah jam beraksi menerusi pemain tengah, N. Thanabalan.

Pemain menyarung jersi no.12 itu berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Myanmar sebelum melepaskan tandukan deras ke gawang lawan hasil sepakan sudut Syazwan Andik Ishak.

Menghampiri minit ke-40,  perlawanan dihentikan seketika apabila pengadil mendapati serpihan bumbung yang berterbangan disebabkan angin kuat.

Sebaik perlawanan bersambung, pemain penyerang, Jafri Firdaus Chew, hampir menggandakan jaringan selepas menerima hantaran kemas Syafiq Ahmad, namun percubaannya gagal menepati gawang.

Pertahanan, Adam Nor Azlin, turut hampir mencatat nama selaku penjaring, namun tandukannya pada minit ke-45 sekadar menggegar palang gol.

Memasuki babak kedua, Kim Swee membawa masuk Amirul Hakimi Awang bagi menggantikan Ifwat Akmal Chek Kassim di gawang dan penjaga gol Terengganu itu terus mempamerkan aksi cemerlang dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya Myanmar.

Anak buah Kim Swee kemudiannya melancarkan beberapa percubaan meneruisi Sean Eugene Selvaraj dan Thanabalan tetapi gagal disempurnakan dengan kemas.

Bagaimanapun, gol kedua yang dicari-cari skuad B-22 negara akhirnya terlunas pada minit ke-87 menerusi pemain tengah, Danial Ashraf Abdullah.

Berpunca daripada hantaran lambung dari sebelah kanan padang, Thanabalan melonjak membuat tandukan sebelum Danial bingkas melepaskan rembatan deras dari jarak dekat lalu menewaskan penjaga gol Myanmar. - Arena