Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, enggan diulit kecewa gara-gara kegagalan memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas terikat tanpa jaringan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), malam kelmarin.
Sebaliknya, jurulatih veteran itu berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan sambil memuji karekter pasukannya menentang pasukan terbaik negara.
Menurutnya, Terengganu mempamerkan semangat juang serta kemahuan yang tinggi untuk mencari kemenangan, namun dinafikan kecemerlangan penjaga gol lawan, Muhammad Haziq Nazli.
“Harus diingat, walaupun tanpa pemain import, majoriti pemain JDT adalah pemain kebangsaan dan saya berpuas hati dengan apa yang disaksikan. Ia menepati citarasa penonton.
“Sedikit mengecewakan ialah terpaksa menunggu lebih lama untuk penyerang baharu, (Kipre) Tchetche menjaringkan gol pertamanya,” ujarnya.
Prestasi tidak menentu pemain importnya, Issey Farran Nakajima, juga mendapat perhatian pengendali berusia 66 tahun itu.
Namun, tambah Irfan, bekas pemain kebangsaan Kanada itu tetap memberi sumbangan kepada pasukannya.
“Prestasi Issey tidak terlalu buruk. Tidak dinafikan dia terlepas beberapa peluang tetapi sebagai satu unit, dia beraksi dengan baik,” katanya. - Arena