Kuala Terengganu: “Situasi dan bukti bagaimana lagi yang dimahukan pengadil untuk melayakkan Terengganu mendapat sepakan penalti? Apa yang dapat kita saksikan ialah pengadil secara jelas menafikan kemenangan Terengganu dan jika ikutkan hati, saya tidak mahu membuat sebarang aduan dan laporan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana sudah tahu apa jawapannya selain ia tidak akan memberi sebarang makna kepada kami.
“Tapi, demi untuk meningkatkan mutu pengadilan bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menghantar aduan secara rasmi kepada FAM dalam masa terdekat,” kata Timbalan Presiden 1 PBSNT Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan pengadil perlawanan Mohd Fairuzi Mat Desa yang tidak memberikan sepakan penalti kepada skuad Penyu biarpun jelas pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dengan sengaja menggunakan tangan untuk menolak bola.
Berikutan keputusan pengadil yang dilihat tidak profesional dan dengan sengaja tidak memberikan sepakan penalti kepada Terengganu biarpun dapat melihat dengan jelas insiden pada minit ke-69 itu membuatkan skuad tuan rumah terpaksa berputih mata untuk mengutip tiga mata selepas sekadar seri 0-0 dalam aksi kedua Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.
Wan Nawawi yang berada di stadium menyaksikan perlawanan itu mengaku kecewa dan terkilan dengan keputusan pengadil yang seolah-olah menafikan hak Terengganu untuk mendapatkan jaringan.
Beliau berkata, sepatutnya pengadil tidak perlu berfikir panjang untuk memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah kerana ia berlaku bukan dalam situasi kelam kabut.
“Entah apa yang difikirkan pengadil kerana pemain lawan sengaja menggunakan tangan, semua boleh nampak dengan jelas apatah lagi perlawanan itu disiarkan secara langsung.
“Selain itu, klip video insiden berkenaan kini sudah tular di laman sosial dan jika diamati ia bukti jelas menunjukkan pengadil melakukan kesilapan besar dan yang pasti Terengganu teraniaya.
“Bagi saya keputusan itu juga adalah satu kerugian besar kepada Terengganu untuk mengutip tiga mata pertama apatah lagi beraksi di laman sendiri,” katanya sambil menambah sudah tiba masanya FAM menggunapakai video rujukan sebagaimana dalam perlawanan hoki demi peningkatan mutu pengadilan dan mengelak sesebuah pasukan teraniaya. - Harian Metro