Kuala Lumpur: Pengendali Terengganu Irfan Bakti Abu Salim memuji tahap disiplin tinggi anak buahnya pada aksi Liga Perdana berdepan Kuala Lumpur kelmarin apabila menang 2-1 sekali gus menjadikan mereka peneraju baru.
Meskipun diberi tentangan cukup sukar sebelum membawa pulang tiga mata dari Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, Irfan mengakui tidak senang duduk sepanjang 45 minit babak kedua yang menyaksikan tuan rumah menguasai penuh perlawanan.
“Saya puji sikap melawan pemain yang berusaha hingga ke wisel penamat biarpun suatu ketika Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan.
“Memang cemas, tapi saya lega sebaik kami memperoleh sepakan penalti penghujung perlawanan dan lebih melegakan apabila pengadil meniupkan wisel.
“Bagaimanapun, masih banyak kelemahan yang harus diperbaiki pada aksi berikutnya dan saya mahu pemain fokus serta cuba kekalkan kedudukan pasukan di tangga pertama (Liga Perdana),” katanya sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan, kelmarin.
Kejayaan skuad Penyu itu menyaksikan mereka kini meraih 37 mata hasil daripada 17 perlawanan dengan Negeri Sembilan mengekori rapat di posisi kedua (36) manakala Kuala Lumpur ketiga (35) dan PKNP FC keempat (34).
Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, percaya barisan anak buahnya masih mampu memberi tekanan dan mencapai misi untuk menjadi juara liga divisyen dua itu musim ini.
“Kami harus berjuang bagi aksi seterusnya dan memenangi takhta untuk ke Liga Super,” katanya. - Harian Metro