"Drogba" Terengganu Kemaruk Jaringan !


Kuala Terengganu: Pemain import baru Terengganu, Tchetche Kipre mengakui dia kian bernafsu untuk meledak gol dan bertekad memburu lebih banyak jaringan.

Pemain kelahiran Ivory Coast yang mula menjadi sebutan dalam kalangan peminat setia skuad Peteh Terengganu Peteh itu sehingga digelar ‘Drogba Terengganu’ juga mengaku dia kian serasi bersama rakan sepasukannya.

“Selepas mengharungi beberapa perlawanan bersama Terengganu, saya kini bertambah yakin, malah begitu gembira beraksi bersama rakan sepasukan yang dilihat sudah memahami corak permainan masing-masing.

“Ini adalah perkembangan yang positif buat pasukan selain akan memberi lebih keyakinan kepada saya untuk terus menghasilkan jaringan bagi membantu Terengganu mencatat kemenangan setiap kali beraksi.

“Justeru, saya berharap dalam perlawanan selepas ini, saya mampu menambah jaringan dan apa yang penting kami perlukan tiga mata” kata Kipre.

“Bermain secara berpasukan adalah lebih baik berbanding beraksi secara individu dan berharap rentak kemenangan dapat diteruskan untuk mengukuhkan kedudukan dalam Liga,” kata Kipre.