Terengganu Sedia Layan Kunjungan Johor DT II


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mencabar pemain-pemainnya untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di Kuala Terengganu ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) II, malam ini.

Menurutnya, carta liga kian sengit dengan tujuh pasukan teratas masih berpeluang menghimpit Terengganu di tangga kedua sambil Negeri Sembilan masih kekal di tangga teratas.

“Kami tidak boleh menoleh ke belakang, sebaliknya terus mengutip tiga mata, terutama di gelanggang sendiri.

“Jadi, kami tiada pilihan lain selain daripada kemenangan ke atas JDT II,” tegas Irfan.

Kata ketua jurulatih berpengalaman itu lagi, kemasukan tiga pemain tempatan diharapkan memberi tonik terbaik menghadapi skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Tambahnya, Kipre Tchetche dan Gabriel Davis dos Santos juga perlu membuktikan kualiti mereka selaku pemain import baharu untuk merobek pintu gol lawan.

“Saya yakin kehadiran Tchetche dan Gabriel telah memperkuatkan lagi bahagian serangan dan pasukan secara keseluruhannya.

“Begitu juga Mohd Ridzuan (Abdunloh) dan Azi Shahril (Azmi) yang mula serasi, namun penjaga gol, Mohd Faizal (Yusoff) masih memerlukan rentak kerana telah enam bulan meninggalkan bola sepak.

“Apa yang penting, semua pemain harus bersedia untuk diturunkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, khidmat dua pemain tengah, Abdul Latiff Suhaimi dan Mohd Shahrin Sapien, terpaksa dilupakan Terengganu akibat masalah kecederaan selain tonggak pertahanan, Lazaro Vinicious, yang digantung satu perlawanan. - Arena