Kipre Tchetche Teruja Sarung Jersi Terengganu



Kuala Terengganu: Penyerang baru Terengganu dari Ivory Coast Tcheche Kipre mengaku tidak sabar untuk beraksi selepas diberi kepercayaan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyarung jersi pasukan itu.

Bekas penyerang kelab Al-Suwaiq FC dalam Liga Oman itu yang juga penjaring terbanyak pasukan terbabit, kini sudah menjalani latihan bersama skuad Penyu di bawah kendalian jurulatih Irfan Bakti Abu Salim sejak dua minggu lalu.

“Selepas dilamar PBSNT, saya begitu teruja dan seronok. Saya sudah tidak sabar untuk beraksi dengan pasukan Terengganu.

“Saya dimaklumkan Terengganu sebuah pasukan kuat dan mantap dan skuad ini juga layak ke separuh akhir Piala FA dan kini berada di tangga kedua Liga Perdana.

“Justeru, saya nampak sasaran Terengganu untuk melangkah ke Liga Super musim depan agak cerah, begitu juga Piala Malaysia,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Kelmarin, pemain yang menggantikan tempat bekas penyerang kelahiran Argentina Federico Falcone, diperkenalkan PBSNT bersama seorang lagi pemain import Gabriel Davis Dos Santos dari Brazil serta tiga pemain tempatan Azi Shahril Azmi, Mohd Ridzuan Abdunloh Pula dan Mohd Faizal Mohd Yusof.

Ketika ditanya kenapa dia memilih Terengganu, Kipre menyatakan ia adalah cabaran buatnya sebagai pemain profesional selain mahu melebarkan karier di Malaysia.

“Ini cabaran baru buat saya untuk membantu Terengganu yang menyasarkan bagi kembali semula ke Liga Super musim depan,” katanya yang berjaya meledak dua gol pada aksi persahabatan bertemu Pahang, Sabtu lalu yang berkesudahan seri 3-3.

Bagaimanapun, dalam aksi persahabatan bertemu Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah jam 10 malam ini, pemain itu tidak disenaraikan kerana terpaksa pulang ke negaranya atas urusan rasmi. - Harian Metro