Asrol Ibrahim Kembali Ke Pangkuan T-Team FC?


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu Irfan Bakti Abu Salim bersetuju melepaskan pemain tengah Mohd Asrol Ibrahim ke pangkuan bekas pasukannya musim lalu, T-Team.

"Kita sedia melepaskan Asrol dan berharap pemain tengah itu mampu meningkatkan prestasi untuk membantu T-Team dalam kancah Liga Super dan Piala Malaysia," Katanya.

Dalam perkembangan lain, pengendali yang pernah membimbing kelab Persipura Jayapura dalam Liga Indonesia itu sudah mengenal pasti dua pemain import baru untuk menggantikan Federico Falcone dan Lutfulla Turaev.

Beliau berkata, dokumen perjalanan serta perpindahan dua pemain import yang akan beraksi di posisi serangan dan tengah itu sedang diuruskan dan mereka dijangka tiba selewat-lewatnya Sabtu ini.

"Penyerang yang akan menggantikan Falcone adalah pemain kelahiran Brazil. Bagaimanapun, buat masa ini kami masih belum mahu mendedahkan nama dua pemain berkenaan.

"Apa yang pasti dua import baru ini belum pernah beraksi dalam Liga Malaysia dan mereka mempunyai rekod bagus ketika beraksi bersama kelab sebelum ini," kata Irfan Bakti.

Sebelum ini, Terengganu dikatakan berminat mengikat bekas penyerang Felda United musim lalu, Thiago Agusto Fernandes untuk memperkuatkan barisan depan namun perkara itu dinafikan Irfan.

"Thiago tiada dalam perancangan saya. itu mungkin khabar angin kerana saya tahu tahap permainan pemain itu, - HM