PBSNT Puji Langkah SPRM & FAM Tangani Rasuah Bola Sepak


Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, meluahkan keyakinan gejala rasuah liga bola sepak tempatan mampu ditangani dengan baik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini berikutan isu penahanan tiga pemain Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) atas tuduhan menerima rasuah sejak beberapa tahun lalu.

“Kami yakin di bawah kepimpinan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dengan melakukan siasatan menyeluruh dan adil.

“Perlu ada hukuman sebagai pengajaran kepada pemain-pemain lain supaya mengamalkan integriti dan tidak mencemari sukan bola sepak dengan gejala mengatur perlawanan,” katanya.

Tidak mahu pasukan negeri terlibat dengan gejala tidak sihat itu, Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu, memberi peringatan awal kepada pemain-pemain pasukan itu agar menjaga nama baik Terengganu.

“Ingin saya tegaskan kepada mana-mana pemain mahupun pengurusan pasukan Terengganu dan T-Team, saya tidak akan berkompromi dengan pesalah yang menerima rasuah.

“Mereka akan dikenakan hukuman berlandaskan perundangan serta peraturan FAM dan SPRM sekiranya didapati bersalah,” tambahnya.

Nada sama turut disuarakan EXCO Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat, yang menyifatkan gejala rasuah dalam bola sepak akan membunuh karier pemain tersebut.

“Isu ini sudah lama berakar umbi dan terbukti memerlukan sistem perundangan yang lebih tegas.

“Mungkin pemain tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya, namun mereka perlu melihat dari sudut jangka panjang selaku pemain bola sepak.

“Sebagai ahli sukan, mereka perlu menjaga disiplin supaya tidak mudah terpengaruh dengan ganjaran lumayan itu,” ujarnya. - Arena