Kuala Terengganu: Bekas ketua jurulatih sementara Terengganu, Mustafa Kamal Abdul Wahab, bertekad mahu mencipta kejayaan bersama skuad Piala Presiden negeri itu, sekaligus melupakan kekecewaan tersingkir dari saingan Liga Super, musim lalu.
“Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menawarkan satu lagi peluang untuk saya membimbing pasukan bawah 21 tahun dan saya menyahut cabaran itu.
“PBSNT juga meletakkan sasaran mara ke final musim akan datang dan saya yakin dengan kombinasi pemain-pemain sedia ada serta barisan kejurulatihan yang berpengalaman, kami mampu melakukannya,” katanya..
Mengakui telah menggugurkan enam pemain yang dipilih jurulatih terdahulu, Roshadi Wahab, dalam sesi pemilihan sebelum ini, Mustafa Kamal yakin acuan dan perancangannya mampu membuahkan hasil.
“Dengan pengguguran enam itu, kami ada 24 pemain dan mereka yang akan menggalas cabaran pada 2017. Namun, saya masih mencari seorang lagi pemain untuk mengisi kekosongan barisan pertahanan yang sedikit longgar.
“Saya menolak dua tawaran dari pasukan Liga FAM kerana saya tahu sebagai anak jati negeri ini, saya masih ada tugas yang belum selesai dan inginkan kebangkitan daripada kekecewaan musim 2016,” akhirinya. - Stadium Astro