Latiff Suhaimi Sedia Buka Langkah Bersama Terengganu


"Saya buat keputusan yang tepat ke Terengganu." Itu luahan Abdul Latiff Suhaimi yang mengakui faktor utama dia memilih skuad Penyu kerana peluang bekerjasama dengan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Biarpun sebelum ini pernah bersama Irfan Bakti di Felda United pada 2014 dan 2015, Latiff jarang diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama.

Kariernya dilihat melonjak apabila bertukar haluan ke PDRM FA musim lalu dan beraksi di posisi pertahanan, malah turut dipanggil menjalani latihan dengan skuad kebangsaan.

Namun, tawaran diberikan Irfan sukar ditolaknya biarpun sekadar beraksi dalam Liga Perdana.

"Sebelum ini pun, saya mungkin tidak berpeluang bermain dalam kesebelasan utama kerana bermain di posisi penyerang.

"Saya terpaksa bersaing dengan pemain seperti Indra Putra Mahayuddin dan Ndumba Makeche.

"Kali ini, Insya-Allah saya mahu merebut tempat sebagai pemain tengah bertahan," katanya.

Bersama Terengganu, Latiff meletakkan sasaran untuk membantu mengembalikan skuad itu ke saingan Liga Super, musim depan.

Dia turut berasa gembira dengan barisan pemain dimiliki Terengganu yang begitu seimbang di semua posisi.

"Saya datang ke sini bersama-sama Irfan Bakti untuk membantu Terengganu kembali ke Liga Super 2018.

"Berdasarkan kerjasama di antara pemain lama dan baru, semuanya berjalan lancar.

"Ditambah pula dengan kehadiran pemain import." - Arena