Kuala Terengganu: Terengganu yang bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan menamakan bekas penyerang kelab Deportes La Sarena dalam Liga Chile, Federico Falcone sebagai pemain import kedua selepas Issey Nakajima Farran dari Kanada.
Ketua jurulatih skuad Penyu Irfan Bakti Abu Salim berkata, pemain kelahiran Rosario, Argentina itu akan mengemudi jentera serangan mereka.
“Saya percaya dia akan cepat serasi dengan corak permainan kami,” katanya selepas aksi persahabatan bertemu Kelantan yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu kelmarin.
Falcone yang juga pernah beraksi bersama Newells Old Boys dalam Liga Argentina itu sudah menandatangani kontrak bersama Terengganu dan dijangka tiba di Kuala Terengganu pada awal Januari.
Bagaimanapun hasrat pasukan yang terkenal dengan jolokan Peteh Terengganu Peteh itu untuk mengikat bekas pertahanan kelab CS Cartagines Mauricio Mazzetti dalam Liga Costa Rica tidak kesampaian apabila pemain berusia 30 tahun itu gagal melepasi ujian kesihatan.
“Dia gagal melepasi pemeriksaan kesihatan dan kami mengambil keputusan untuk tidak mengikat kontraknya dan sudah dihantar pulang petang semalam,” kata bekas pengendali FELDA United itu.
Mengenai dua kekosongan yang perlu diisi untuk melengkapkan kuota empat pemain import, bekas pengendali Terengganu musim 2010 dan 2011 itu bakal mempertaruhkan dua pemain baharu kelahiran Brazil.
“Kami sudah melihat corak permainan mereka yang bakal beraksi di bahagian pertahanan dan serangan. Jika semua berjalan lancar, mereka akan bersama kami pada awal bulan depan,” katanya.
Beliau yang berhasrat membantu Terengganu menjuarai Liga Perdana musim depan akan mengatur beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum aksi sepak mula Liga-M pada 20 Januari depan.
Selain Kelantan, Terengganu akan mengadakan empat perlawanan persahabatan bertemu Selangor, diikuti dengan aksi menentang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pasukan juara Piala Malaysia, Kedah sebelum bertemu T-Team. - HMetro