MB Ahmad Razif Terajui PBSNT Sehingga 2020


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, dilantik selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) secara rasmi selepas menang tanpa bertanding dalam Kongres Luar Biasa PBSNT bagi penggal 2017 hingga 2020, hari ini.

Jawatan Timbalan Presiden I akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wan Zawawi Wan Ismail, yang turut menang tanpa bertanding, menggantikan Datuk Mazlan Ngah, yang mengundurkan diri.

Menurut Timbalan Presiden II, Marzuki Sulong, perubahan pucuk pimpinan tertinggi badan induk itu diharapkan dapat memacu PBSNT ke arah kecemerlangan yang diidamkan-idamkan pada masa akan datang.

“Seramai lima muka baru dilantik dalam pemilihan ini dan diharapkan dengan penambahan serta penyertaan mereka akan menyuntik semangat baru untuk memulihkan reputasi pasukan negeri ini.

“Mesyuarat eksekutif yang lalu telah sebulat suara memutuskan untuk menyerahkan jawatan tertinggi persatuan kepada pemimpin tertinggi kerajaan negeri, iaitu menteri besar.

“Saya sangat berterima kasih kepada pucuk pimpinan menteri besar yang sangat membantu dalam membangunkan bola sepak di negeri ini.

“Alhamdulillah kami tidak berdepan masalah kewangan untuk membentuk pasukan musim depan,” katanya lagi.

Untuk rekod, jawatan Presiden PBSNT sebelum ini dipegang Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, sebelum meletakkan jawatan pada Ogos lalu ekoran prestasi merosot Terengganu dalam kempen Liga Super dan Piala Malaysia. - Stadium Astro