Pasukan Bola Sepak Felda Wilayah (PBFW) Terengganu dan Segamat bersedia mencatur strategi masing-masing untuk memburu Piala Pengerusi Felda 2016 dalam perlawanan akhir pada 5 November ini.
Memasuki edisi ketiga, Piala Pengerusi Felda akan berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, dengan Terengganu dan Segamat memburu gelaran kedua.
Turun dengan status selaku juara Piala Komuniti Felda musim ini, Terengganu mempertaruhkan pengalaman pemain veteran seperti kapten, Syed Ridzuan Syed Abdullah, yang sudah menjangkau usia 36 tahun.
“Dengan hadirnya beberapa pemain muda, saya berpendapat pasukan ini memiliki pengalaman beraksi dalam aksi Liga Terengganu,” kata Ridzuan, yang yakin skuadnya mampu menyekat Segamat dalam final.
Dalam pada itu, Segamat turut mempunyai perancangan tersendiri dalam memastikan mereka menambah satu lagi koleksi kejuaraan selepas mengungguli Piala Pengarah Besar Felda sebelum ini.
Meskipun tidak pernah bertemu Terengganu musim ini, kapten Segamat, Mohd Fahian Roslan, percaya kemampuan barisan pemain muda pasukannya dapat menyekat lawan.
Harapan Segamat sudah pasti disandarkan kepada Fahian sendiri yang juga penjaring terbanyak musim ini dengan lapan gol.
“Dengan membariskan pemain di bawah usia 30 tahun, kami percaya mampu melakar keputusan yang positif nanti,” kata Fahian.
Aksi final Piala Pengerusi di antara Segamat dan Terengganu boleh disaksikan secara langsung menerusi Astro Arena 801 dan 802 HD pada Sabtu ini, jam 8.30 malam.
Juara akan membawa pulang piala pusingan selain wang tunai RM30,000. - SA