Pemenang Kasut Emas 2010, Mohammad Ashari Samsudin, mengesahkan akan meninggalkan pasukan negeri kelahirannya, Terengganu, dan menyertai Pahang untuk saingan musim 2017.
Digelar ‘The Silent Killer’ oleh peminat pasukan Terengganu, Ashari, 31, memulakan karier pada 2005 dan namanya mula meniti di bibir penyokong Sang Penyu selepas kejayaan memenangi emas Sukan Malaysia (Sukma) 2008.
Tahun yang sama menyaksikan Ashari membuat penampilan sulung bersama skuad negara di bawah kendalian B. Sathianathan, malah turut membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki, dua tahun kemudian.
2011 adalah tahun gemilang Ashari dan Terengganu khususnya, dengan kejayaan memenangi Piala FA serta gelaran naib juara Liga Super dan Piala Malaysia.
“Banyak kenangan manis selama 12 tahun berbakti untuk Terengganu, namun sudah tiba masa untuk saya berhijrah dan mencuba nasib bersama pasukan baharu.
“Sudah tentu saya turut berasa kecewa dengan kegagalan membantu Terengganu mengecapi kejayaan yang diidam-idamkan sejak kebelakangan ini.
“Memandangkan saya juga sudah lama bersama Terengganu, jadi itu mendorong saya membuat keputusan meninggalkan pasukan kesayangan ini dan menyarung jersi Pahang, musim depan.
“Saya berharap dapat meningkatkan prestasi dan mengembalikan sentuhan pemusnah, seterusnya membantu pasukan baharu untuk memberi cabaran pada 2017.
“Untuk itu, saya perlu menggandakan usaha dalam merebut tempat kesebelasan utama dan memberikan yang terbaik.
“Menjulang satu piala bersama Pahang menjadi sasaran saya, namun masih harus menyesuaikan diri dengan cepat,” katanya. - SA