Terengganu Tekad Terus Ungguli UPSR 2016


SEBERANG TAKIR - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan 4,000 daripada 20,860 calon yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh keputusan semua A dalam enam mata pelajaran yang diambil.

Enam kertas peperiksaan itu membabitkan Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Bahasa Inggeris Pemahaman, Bahasa Inggeris Penulisan, Matematik Kertas 1, Matematik Kertas 2, Sains Kertas 1 dan Sains Kertas 2.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin berkata, sasaran 20 peratus murid memperoleh keputusan semua A itu dibuat berlandaskan keupayaan dan pencapaian direkodkan sebelum ini.

“Tidak dapat dinafikan, tahun ini kita menghadapi sedikit cabaran kerana buat pertama kali format enam mata pelajaran iaitu tambahan Bahasa Inggeris Penulisan diperkenalkan.

“Bagaimanapun, kita masih percaya dan yakin dengan komitmen dan pengalaman guru kita dengan gerakan menyeluruh yang dibuat sebelum berlangsungnya peperiksaan ini.

“Malah, sokongan kerajaan negeri, sekolah, ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) turut memperlihatkan perkembangan positif bagi memastikan Terengganu terus mengungguli pencapaian UPSR tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Lawatan Kerja Sempena Peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, Bazlan Abd Rahman dan Guru Besar SK Seberang Takir, Ismail Abdullah.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 362 pusat peperiksaan termasuk 10 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan 11 sekolah swasta terlibat tahun ini.

“Kita juga menyediakan enam pusat peperiksaan di hospital seluruh negeri sebagai persediaan jika berlaku perkara tidak diingini.

"Hari pertama hari ini (semalam) hanya terdapat seorang calon iaitu murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS).

“Murid terbabit dimasukkan ke hospital beberapa hari sebelum peperiksaan akibat jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Dalam perkembangan lain, JPNT mengeluarkan pekeliling kepada pengetua dan guru besar di semua sekolah di negeri ini untuk meningkatkan kawalan keselamatan dan kesihatan pelajar bagi mengekang demam denggi dan virus zika.

Katanya, pengurusan sekolah perlu peka kebersihan kawasan sekeliling supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk atau haiwan yang membahayakan keselamatan. - SH