Terengganu Tagih Sokongan Penyokong Dilaman Sendiri


Pemangku ketua jurulatih Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab, mengharapkan suntikan moral penyokong dapat dijelmakan dalam perlawanan Liga Super menentang Kedah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

“Kelebihan beraksi di tempat sendiri harus digunakan dan dengan kombinasi pemain-pemain yang komited, kami akan buat yang terbaik untuk mendapatkan tiga mata penuh.

“Saya akan membuat sedikit perubahan dalam kesebelasan utama dan pemain yang ada bersedia melaksanakan tanggungjawab seperti dirancang.

“Dengan kembalinya Norshahrul (Idlan Talaha), kami ada seorang penyerang tulen untuk menggalas cabaran di bahagian serangan bersama (Bogdan) Milic, Ashari (Samsuddin) dan Issey (Farran Nakajima).

“Sentuhan penyudah juga sudah diperkemaskan dan diharapkan ketajaman penyerang akan terserlah untuk memberi keputusan yang positif kepada pasukan.

“Walaupun Terengganu berada pada kedudukan kedua tercorot, saya menaruh harapan kepada penyokong hadir memberi sokongan untuk kekal dalam Liga Super," tambahnya.

Berdepan Kedah yang kini dalam prestasi terbaik, tiada jalan lain buat skuad Sang Penyu selain kemenangan kerana hanya dua mata dipisahkan dari pasukan tangga tercorot, Pahang, dengan baki dua perlawanan.

“Kami turut melihat punca-punca kesilapan dibolosi ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun melihatkan kelemahan individu, fungsi pemain-pemain lain juga penting untuk membentuk kekebalan pertahanan.

“Kekuatan Kedah juga dikenal pasti, iaitu dua penyerang import baharu mereka, selain kami turut mengintai kelemahan mereka,” katanya. - SA