Terengganu Enggan Mengalah Dan Harapkan Keajaiban


Pemangku ketua jurulatih Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab, mengakui pasukannya mengharapkan tuah untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan selepas jatuh ke tangga tercorot liga apabila tewas 0-3 kepada Kedah, malam tadi.

“Sebagai jurulatih, saya tetap positif dan kami akan mengerah segala kudrat yang ada untuk perlawanan terakhir nanti.

“Tiada pilihan lain, kami perlu memberikan yang terbaik untuk menang kerana itu sahaja peluang untuk kekal dalam Liga Super musim hadapan.

“Selain memerlukan keputusan positif pasukan lain, malah tidak keterlaluan jika kami memerlukan keajaiban serta mengharapkan nasib dan tuah menyebelahi kami.

“Apa yang penting, kami tidak akan mengalah dan berjuang sehingga minit terakhir demi pasukan Terengganu.”

Perlawanan malam tadi menyaksikan Terengganu berpeluang menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 0-1, namun beberapa percubaan Norshahrul Idlan Talaha, Ashari Samsuddin dan Issey Farran Nakajima, gagal menemui sasaran.

Babak kedua pula tidak banyak dapat dilakukan jentera serangan Sang Penyu dan kemasukan penyerang Montenegro, Bogdan Milic, juga gagal memberikan kesan dan dihukum dengan dua lagi gol Kedah pada penghujung perlawanan.

“Senarai kecederaan pemain semakin bertambah dan saya kekurangan pilihan pemain terbaik untuk diturunkan.

“Norshahrul mengalami kecederaan buku lali pada awal babak kedua, memaksa saya memasukkan Milic, namun masih gagal menembusi pertahanan lawan.

“Pasukan lawan lebih selesa selepas mendahului satu gol dan bermain dengan berdisiplin ketika pergerakan dalam mengejar bola, serta mematikan langkah kami sehinggakan gerakan untuk membuat serangan tidak menjadi.

“Jika kami menyempurnakan peluang-peluang pada pertengahan babak pertama, mungkin keputusan perlawanan akan berubah,” katanya.

Terengganu perlu mencatat kemenangan ke atas Pulau Pinang dalam aksi terakhir, 22 Oktober ini, untuk mengelak daripada tersingkir sambil mengharapkan Pahang keciciran mata berdepan T-Team.  - SA