sila refresh 2 atau 3 kali jika terdapat error
PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengekalkan rekod kemenangan apabila berdepan Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, hari ini.
Pengendalinya, Mario Gomez berkata, pasukan tidak memikirkan kemenangan sebaliknya hanya mahu menunjukkan prestasi yang terbaik dalam setiap perlawanan.
“Pasukan masih konsisten dan saya begitu gembira pemain menunjukkan kesungguhan yang jitu dalam setiap perlawanan.
“Saingan masih belum tamat, jadi saya tidak mahu pemain mengambil mudah perlawanan ini. Apa yang penting kemenangan diperoleh oleh pasukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ketika diminta mengulas mengenai pertembungan yang bakal menentukan JDT meraih kejuaraan hatrik liga, Gomez mahu kesebelasan utama yang akan diturunkan dapat memperagakan aksi terbaik untuk memastikan kemenangan.
Katanya, walaupun keinginan untuk meraih gelaran juara itu kian memuncak, perlu diingatkan pasukan lawan juga mampu memberi kejutan apatah lagi sedang bersaing untuk mengelak daripada berada di zon penyingkiran.
“Kemenangan itu penting kerana selepas ini kita akan ke Hong Kong untuk berdepan South China FC pada aksi suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Mongkok, Selasa depan dan ia akan beri lebih keyakinan kepada pemain apabila beraksi nanti,” katanya.
Beliau turut memberitahu, terpaksa membuat rombakan dalam percaturannya apabila tonggak, Hariss Harun terpaksa diketepikan kerana digantung dua perlawanan akibat mengumpul enam kad kuning.
Katanya, percaturan juga terpaksa dilakukan berikutan beberapa pemain termasuk Azinee Taib yang tidak boleh diturunkan kerana belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan ketika aksi menentang Felda United yang lalu.
“Kemungkinan saya akan menggunakan Amirul Hadi bagi menggantikan tempat Hariss bagi memperkuat jentera tengah yang akan digandingkan bersama Safiq Rahim.
“Tempat Azinee pula mungkin akan diisi Amri Yahya atau Nazrin Nawi bergantung kepada persediaan mereka memandangkan Amri juga baru pulang dari perlawanan antarabangsa menentang Indonesia baru-baru ini,” katanya. - SH