Selepas ini, jika anda ingin melaporkan tentang jalan yang berada dalam keadaan teruk atau rosak, saluran terbaik dan paling mudah ialah melalui aplikasi telefon pintar “Aduan Jalan KKR”. Dibangunkan dan diperkenalkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) buat pertama kali pada Mac 2015, Ogos lalu menyaksikan aplikasi ini menerima peningkatan bagi versi 2.0 dengan ciri-ciri tambahan untuk memudahkan pengguna.
Ia boleh dimuat turun bagi kedua-dua sistem operasi iOS dan Android, ia menggunakan sistem GPS dan kendalian masa-nyata bagi memproses setiap aduan yang diterima.
Selepas mendaftar menggunakan akaun emel atau Facebook dan menyertakan sekali nombor telefon untuk dihubungi, pengguna boleh membuat aduan secara terus dari lokasi yang terlibat dan perincian geografinya akan tertera melalui sistem GPS dan Google Maps yang digunakan.
Melalui aplikasi ini juga, pengguna boleh membuat laporan atau aduan kerosakan jalan di mana-mana sekali pun, tidak kira bagi jalan persekutuan, jalan negeri mahupun lebuh raya di seluruh negara. Aplikasi pintar ini, yang merupakan sebahagian daripada “Sistem Pengurusan Aduan Kerosakan Jalan” yang diuruskan oleh kementerian berkenaan, menjadi satu platform bersepadu untuk hal-hal berkaitan penyelenggaraan jalan raya.
Bagi aduan terhadap kerosakan mudah di laluan yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), tindakan akan diambil dalam tempoh 24 jam. Bagi aduan yang melibatkan masalah jalan raya yang lebih rumit, tindakan sewajarnya akan diambil dalam tempoh 15 hari.
Bagi aduan yang melibatkan pihak pengendali lain, misalnya operator lebuhraya seperti PLUS dan sebagainya, sistem bersepadu ini akan menyalurkan maklumat aduan berkenaan kepada pihak-pihak berwajib yang sepatutnya untuk tindakan lanjut.
Aplikasi dan sistem ini menghubungkan pengguna (melalui aduan) dengan pihak bertanggungjawab seperti JKR, kontraktor terlibat serta badan pemantau yang ada bagi memastikan setiap aduan diambil kira dan tindakan sewajarnya diambil.
Bagi pengguna biasa dan orang awam, apa yang perlu diketahui adalah sistem ini menjadi pengantar untuk memudahkan aduan dibuat hanya melalui hujung jari anda. Urusan selebihnya akan dikendalikan oleh sistem ini dan juga pihak kementerian. Cuma, adalah diharap tiada pengguna yang menyalahgunakan aplikasi ini untuk menghantar aduan palsu.