Senun menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Marang. |
Mangsa terbabit, Senun Deraman,65, terdahulu membuat permohonan baharu kad orang kurang upaya miliknya yang sudah rosak sekitar jam 10 pagi dan ditegur seorang lelaki tidak dikenali sebaik sahaja keluar dari pejabat JKM Marang.
Menurutnya, individu terbabit menawarkan diri untuk menolong mendapatkan bantuan bulanan dari JKM dengan lebih cepat serta memberitahu mangsa hanya perlu mengambil buku bank simpanan untuk urusan kemasukan wang.
“Saya dimaklumkan wang ‘bantuan bulanan’ akan dimasukan dalam jumlah RM1000 dan saya hanya akan mendapat sebanyak RM300 manakala selebihnya perlu diberikan kepadanya tetapi perlu mengambil buku bank simpanan dahulu.
“Saya kemudiannya dipelawa naik keretanya jenis Proton Saga berwarna putih untuk mengambil buku bank simpanan di rumah saya di Belubor, Rusila sebelum di bawa ke bank bagi urusan pengeluaran wang di sebuah bank di bandar Marang.
“Sebaik tiba berdekatan sebuah masjid dia (individu terbabit) membuat panggilan sebelum memaklumkan kepada saya wang tersebut sudah dimasukkan ke dalam akaun saya dan saya perlu ke bank bagi mengeluarkan wang berjumlah RM1000,” katanya.
Mangsa yang mengalami masalah penglihatan pada bahagian mata kanannya itu kemudiannya berjalan kaki lebih kurang 50 meter ke bank manakala individu terbabit menunggu di dalam kereta berhampiran masjid berkenaan.
Bagaimanapun, anak perempuan mangsa bersama menantunya serta seorang lagi ahli keluarga di rumah yang baharu mendapat maklumat mengenai perkara itu bergegas ke bank kerana mengesyaki bapanya cuba ditipu oleh individu terbabit.
Senun yang ketika itu sudah pun berada di bank meminta pengawal keselamatan di bank berkenaan untuk membantunya membuat pengeluaran wang berjumlah RM1000 namun membatalkan niat selepas melihat anaknya baru tiba di bank.
“Anak perempuan saya dan suaminya bercakap dengan pengawal keselamatan itu dan pengawal keselamatan itu tidak jadi untuk mengisi borang pengeluaran wang kerana anak mendakwa saya sebenarnya cuba ditipu individu terbabit,” katanya.
Warga emas sembilan anak itu turut memaklumkan wang simpanannya yang disimpan dalam bank berkenaan hanya berjumlah RM1350 dan diperoleh hasil daripada pemberian anak-anaknya sebelum ini.
Menurutnya, ahli keluarga kemudiannya cuba menjejaki individu memandu kereta jenis Proton Saga itu namun gagal lalu ke balai polis berdekatan membuat laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut kini masih dijalankan. - SH