UiTM Dungun Jana Elektrik Guna Tenaga Kincir Angin


DUNGUN - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu Kampus Dungun mampu menjimatkan pembiayaan kos elektrik sebanyak 40 peratus sekiranya hasrat untuk menggunakan tenaga elektrik menerusi penjanaan tenaga angin dapat direalisasikan.

Rektor UiTM Terengganu, Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi berkata, pihaknya menyasarkan keseluruhan penggunaan tenaga elektrik dijana menerusi kincir angin menjelang Jun tahun depan.

Menurutnya, UiTM Terengganu merupakan satu-satunya universiti di negara ini yang menggunakan pendekatan bersumberkan tenaga hijau dan mampu menjimatkan kos itu.

“Fasa pertama (menggunakan kincir angin) berjaya dilaksanakan dengan mengeluarkan 300 watt tenaga elektrik. Kita yakin ia boleh diadaptasikan ke seluruh kampus. Kita manfaat keistimewaan kampus Dungun yang berada di tepi Laut China Selatan bagi menghasilkan sumber elektrik. Selepas ini kita akan luaskan penggunaan di semua lampu jalan dalam kampus dan seluruh bangunan.

“UiTM Dungun mengeluarkan kos RM330,000 sebulan untuk bil elektrik. Jika kita menggunakan sepenuhnya tenaga angin, kos akan dijimatkan sehingga RM120,000. Sekurangnya 40 peratus boleh dikurangkan dan mungkin juga lebih daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran sambutan bulan kemerdekaan peringkat UiTM Terengganu, kelmarin.

Menurut Abdol Samad lagi, projek perubahan sumber tenaga itu turut memberi manfaat kepada proses penyelidikan dan kajian bagi fakulti berkaitan.

“Kepakaran sumber manusia di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Mekanikal dapat ditingkatkan menerusi penggunaan sumber tenaga baru ini. Kita sekarang dalam proses permohonan bagi mendapatkan kelulusan penggunaan tenaga angin daripada Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta UiTM.

“Jika sebelum ini kita bayar kepada TNB, tetapi selepas penggunaan tenaga angin, UiTM boleh jual tenaga yang ada kepada mereka, sekali gus menjadi pelaburan yang mampu menjana pendapatan. Jika tiada masalah dan semua berjalan lancar, UiTM Dungun bakal mencipta sejarah apabila menggunakan sepenuhnya sumber tenaga berasaskan tenaga angin,” katanya.