Terengganu bakal menerima percaturan sulung daripada bekas jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor, dalam aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini.
Memiliki pengalaman luas dalam arena bola sepak di Malaysia, Che Ku Marzuki secara rasminya dilantik untuk membimbing Terengganu kelmarin, bagi membantu memperbaiki prestasi skuad itu yang kini terumbang-ambing.
Khidmatnya turut ditagih untuk memulihkan kembali semangat pemain skuad Penyu, dalam usaha memperbaiki kedudukan mereka mengelak tersingkir ke Liga Perdana.
"Insya-Allah, dengan kehadiran saya ini disenangi semua pemain dan juga pegawai-pegawai," katanya, "Kami akan buat satu pasukan seperti keluarga yang besar untuk mencari kejayaan supaya kami kekal berada dalam Liga Super."
Dalam aspek keserasian, Che Ku Marzuki sudah biasa bekerja dengan kebanyakan pemain Terengganu seperti Zairo Anuar Zailani dan Sharbinee Alawi kerana pernah mendidik mereka ketika berada di Akademi Bola Sepak Terengganu.
Sementara itu, pemangku jurulatih Terengganu, Mustafa Kamal Abdul Wahab, pula gembira dengan kehadiran Che Ku Marzuki untuk membantunya mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Menentang Selangor, Mustafa sudah merencana strategi untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di tempat lawan.
"Nampak Patrick Ronaldinho (penyerang Selangor) telah menemui jaringannya dan (tetapi) bahagian pertahanan kami pun sudah mempunyai pemain yang segar yang boleh merantainya," kata Mustafa. - AA