Terengganu Sudah Ada Keinginan - Che Ku Marzuki


Satu mata diraih dalam perlawanan pertama bersama Terengganu, sudah cukup melegakan jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor, yang baru sahaja mengambil alih pasukan itu Sabtu lalu.

Malah, dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi, Terengganu hampir melakar kemenangan ke atas Selangor, malangnya gol pemain tengah, Ashari Samsudin, pada minit ke-65, dipadamkan Andik Vermansyah di hujung perlawanan.

"Hajat kami datang ke sini dengan matlamat untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

"Jadi, apa yang kita lihat dalam perlawanan, pemain-pemain saya bersemangat baik, memberi persembahan yang baik. Semuanya ada keinginan nak bermain, jadi kami dapat satu gol."

Pada separuh masa pertama, tiada aksi menarik dipaparkan oleh kedua-dua pasukan.

Kemasukan pemain import Terengganu, Bogdan Milic, kemudian memberikan impak di bahagian serangan pada separuh masa kedua.

Hasilnya, lorongan Milic kepada Ashari disempurnakan dengan satu sepakan voli untuk meletakkan Terengganu di hadapan.

Selangor cuba menyamakan kedudukan dan usaha itu berhasil apabila hantaran silang Adam Nor Azlin ditanduk kemas Andik untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Walaupun kecewa hanya berkongsi mata, pengendali sementara Selangor, K Gunalan, tetap memberi pujian kepada pasukan lawan.

"Terengganu yang berada di tangga bawah liga datang ke sini, mungkin telah memberikan persembahan yang terbaik. Saya juga lihat mereka yang memberi peluang kepada pemain import (Milic), telah mengucar-kacirkan permainan kami.

"Walaupun mereka dapat menghasilkan satu gol, tetapi kami bangkit bermula minit ke-80 untuk menjaringkan satu gol." - AA