Terengganu Peruntuk RM1.5 Juta Untuk Atlet Sukma Sarawak 2016


KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1,543,500 sebagai insentif kepada atletnya yang berjaya membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa pada temasya dwitahunan Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Sarawak baru-baru ini.

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata setiap atlet yang memperoleh pingat emas menerima insentif RM5,000, pingat perak RM3,000 dan RM2,000 bagi gangsa.

Insentif juga turut diagihkan kepada jurulatih, pengurus pasukan serta persatuan yang diwakilinya dengan jumlah sama.

Atlet sukan berbasikal, Nur Aisyah Mohamad Zubir pula memperoleh insentif paling tinggi sebanyak RM25,000 apabila merangkul lima pingat emas.

Ratu Olahragawati Sukma Nur Aqilah Yusof dari sukan memanah pula memperoleh RM22,500 setelah berjaya mendapat tiga pingat emas, memecahkan rekod kebangsaan dan Sukma serta dua pingat gangsa manakala atlet menembak Safirrendzuan Salim pula mendapat RM21,000 apabila merangkul dua emas, tiga perak dan satu gangsa.   

Ahmad Razif berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati terhadap pungutan pingat emas kontinjen Terengganu yang disumbangkan atlet sukan memanah, menembak, perahu layar, angkat berat, gimnastik, petanque, taekwondo, sepak takraw, tenis, tinju dan golf.

"Ternyata pengorbanan pasukan yang berpuasa dan berhari raya di rantau orang di Thailand dan Indonesia, tidak sia-sia malah memberi pulangan yang lumayan kepada pasukan itu sehingga Terengganu berjaya menduduki tempat ketiga pada Sukma kali ke-18 itu," katanya pada majlis itu.

Bagaimanapun beliau agak kecewa dengan pasukan olahraga dan pencak silat yang hanya mengutip satu emas yang sebenarnya pencapaian itu adalah antara yang kurang memberangsangkan dan jauh dari apa yang disasarkan.

Namun, katanya, kejayaan Nur Aqilah Yusof iaitu atlet sukan memanah yang dinobatkan sebagai olahragawati Sukma setelah mencipta rekod baharu kebangsaan, mengubat sedikit kekecewaan Terengganu.

Beliau berkata, bagi menghadapi Sukma pada 2018 di Perak nanti, MSNT perlu merangka pelan tindakan yang komprehensif antaranya post mortem perlu dilakukan secara bersemuka dengan setiap pasukan, penilaian jurulatih hendaklah dilakukan secara terperinci untuk menentukan sama ada khidmat mereka masih diperlukan atau ditamatkan kontrak atau perlu jurulatih baharu. Pada majlis itu Ahmad Razif juga mengucapkan tahniah kepada empat atlet negeri itu yang terpilih mewakili negara ke Sukan Olimpik di Rio, Brazil iaitu Mohd Hafifi Mansor yang mencipta rekod kebangsaaan dalam sukan angkat berat, Khairul Anuar Mohamad (memanah) serta atlet berbasikal, Azizul Hasni Awang dan Fatehah Mustafa.

"Paling membanggakan kami ialah kejayaan Azizul, anak Dungun yang memperoleh pingat gangsa acara keirin yang merupakan pingat pertama negara dalam acara berbasikal dan yang lebih penting pingat itu merupakan pingat yang pertama pernah diraih anak Terengganu dalam sukan Olimpik," katanya.

Ahmad Razif berkata kejayaan Azizul Hasni yang besar ertinya kepada kerajaan dan rakyat Terengganu dan yakin suatu hari nanti atlet Terengganu yang ada sekarang mampu menjadi olimpian seperti empat jaguh itu.

"Kerajaan Terengganu juga akan memberi insentif kepada keempat-empat atlet itu di atas kelayakan mereka mewakili negara ke temasya Olimpik berkenaan tidak lama lagi," katanya. – B