KEM Terengganu gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika turun melayan kunjungan Pahang dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Tuan rumah yang bermula cemerlang nyaris membuka jaringan awal menerusi percubaan dari luar kotak penalti, Joseph Kalang Tie pada minit kedua perlawanan, bagaimanapun rembatannya sekadar melambung tinggi.
Seminit selepas itu, kem pelawat mula mengatur serangan menerusi pemain importnya, tetapi tandukan lemah Pablo Andres Vranjican mudah dibaca penjaga gawang skuad Penyu, Mohd Sharbinee Allawee.
Skuad Tok Gajah yang mempamerkan aksi lebih konsisten sekali lagi mencemaskan gawang Terengganu, menerusi percubaan kemas,Faysal Shayesteh pada minit ke-14, namun rembatannya gagal menemui pintu gol.
Menuju ke pertengahan perlawanan kedua-dua pasukan memperagakan aksi hambar dengan berlegar-legar di tengah padang setelah masing-masing gagal melepasi benteng pertahanan.
Begitupun, tuan rumah yang kembali memperkemaskan rentak permainan hampir menamatkan kebuntuan gol pada minit ke-43 menerusi percubaan kemas Mohd Ashaari Shamsudin, namun penjaga gawang Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias bertindak cemerlang menafikan hajat kem Terengganu mendahului kedudukan sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua perlawanan menyaksikan tuan rumah mempamerkan aksi lebih berdisplin dengan melakukan asakan bertali arus ke gawang pelawat bagaimanapun gagal melepasi benteng pertahanan Pahang yang dikawal ketat Jailton De Campos Dos Santos dan gandingannya, Muhamad Ashar Al Aafiz.
Pelawat yang sesekali melakukan serangan balas turut berdepan situasi sama apabila gagal menemui penyudah meskipun berpeluang mencipta beberapa gerakan ke gawang gol Terengganu.
Skuad Penyu bagaimanapun kembali mengatur gerakan menerusi Joseph Kalang Tie hampir menceria penyokong Terengganu apabila Nor Shahrul Idlan Talaha berjaya memperdayakan benteng pertahanan Pahang pada minit ke-67, tetapi rembatan kemas Mat Yo ditepis keluar Mohd Helmi.
Kerja keras skuad kendalian Mohd Razip Ismail dalam menamatkan kebuntuan gol akhir tertunai pada minit ke-81 menerusi jaringan Pablo Andres Vranjican selepas berjaya memperdayakan benteng pertahanan Terengganu sebelum melepaskan rembatan leret terus menerjah gawang untuk gol pembukaan Pahang.
Berbaki tiga minit sebelum tamat perlawanan skuad Penyu berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan dengan tenang, Issey Nakajima sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata sehingga tamat perlawanan. - SH