Terengganu Johan Bola Sepak MAKSAK Kebangsaan


KUALA TERENGGANU: Jaringan tunggal Ros Mohd Muharam Wahab membantu Terengganu menundukkan Johor 1-0 bagi menjuarai saingan bola sepak Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) kebangsaan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, petang tadi (semalam).

Dalam perlawanan itu, kedua pasukan mempamerkan aksi bertenaga, namun jaringan penyerang, Ros Mohd Muharam pada minit ke-30 sudah cukup buat Terengganu dinobatkan sebagai juara.

Lebih manis, kejayaan muncul juara kali ini juga menebus kekecewaan tahun lalu apabila tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan akhir.

Kejayaan muncul juara membolehkan Terengganu menerima piala, medal dan wang tunai RM2,000 manakala Johor meraih RM1,000 dan medal. Tempat ketiga bersama dimenangi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM yang masing-masing menerima medal.

Dua tonggak Terengganu iaitu penjaga gol, Tengku Azraf Fahimi Che Ku Sulong dan pemain tengah, Mohd Shamsul Aswadi Ibrahim diumum sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Pengendali Terengganu, Ridzuan Mohd Nor, berkata kejayaan yang diraih pasukannya hasil kerja keras berpasukan yang dipamerkan anak buahnya dari awal hingga wisel penamat.

Katanya, bermain di gelanggang sendiri ditambah sokongan penyokong memberi sedikit kelebihan kepada pasukannya meraih kejayaan kali ini.

"Kejayaan ini satu bonus buat kami kerana bukan saja layak ke final, namun muncul juara MAKSAK tahun ini.

"Justeru, saya berterima kasih kepada semua pihak terutama pengurusan dan pemain di atas komitmen yang diberikan sepanjang kejohanan ini," katanya - BH