SKUAD Terengganu bakal berdepan rombakan besar-besaran tahun depan berikutan prestasi hambar dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, siasatan menyeluruh juga akan dilakukan untuk mencari punca kelemahan pasukan berkenaan.
Menurutnya, bentuk serta kaedah pelaksanaan perkara itu akan diumumkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
"Saya tidak tahu apa sebenarnya berlaku kepada pasukan Terengganu sekarang ini sedangkan beberapa perubahan dilakukan. Barisan pemain atas kertas top-top blake doh (semua berkualiti) dan kita masih melihat serta membuat siasatan menyeluruh.
"Ibarat kereta menggunakan enjin sama, cuma ditukar plug (palam) dan minyak hitam sahaja. Itu yang kita buat daripada dulu...'kereta tu la jugop' (kereta itulah juga). Sekarang kita kena tukar secara menyeluruh. Kalau perlu tukar enjin, kita kena buat macam itu," katanya mengulas prestasi hambar skuad Penyu yang kini berdepan penyingkiran ke Liga Perdana pada musim depan.
Dalam pada itu, Rozi mahu pemain skuad Penyu bermain bersungguh-sungguh dalam tiga baki perlawanan musim ini bagi memastikan Terengganu dapat keluar dari zon penyingkiran seterusnya kekal dalam Liga Super musim depan.
"Terengganu kini dalam situasi genting dan sebarang kemungkinan boleh berlaku, termasuk tidak lagi berada dalam Liga Super pada musim depan. Sebolehnya kita tidak mahu ia berlaku dan saya harap pasukan dapat terus bertahan," katanya. - SH