T-Team Lebur Rekod Bersih Darul Aman


T-TEAM meleburkan rekod tanpa kalah Kedah sebanyak 13 perlawanan di Stadium Darul Aman apabila menang 1-0 pada perlawanan kelima Kumpulan A Piala Malaysia 2016, hari ini.

Lebih manis buat pelawat, kemenangan itu meletakkan The Titans di tangga pertama kumpulan mengatasi Kedah di tangga kedua walaupun berkongsi 10 mata sama namun kurang bolos bebanding Hijau Kuning.

Liridon Krasniqi berpeluang meletakkan Kedah di hadapan apabila menerima hantaran cantik Syafiq Ahmad namun sepakannya terus kepada penjaga gol T-Team seawal minit ke-5 perlawanan.

Pelawat beberapa kali mengatur serangan ke kubu tuan rumah namun Kedah yang mendapat kembali khidmat pertahanan kental importnya, Bang Seung Hwan cemerlang bersama gandingannya di pertahanan tengah, Syawal Nordin mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Corak permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua menyaksikan permainan sedikit hambar di mana bola banyak berlegar-legar di tengah padang sahaja.

Peluang terbaik T-Team hadir pada minit ke-29 yang memperolehi sepakan percuma dari jarak 30 meter namun percubaan yang dilakukan oleh Muhammad Sapawi Rased berjaya dibaca oleh penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal.

Kemasukkan penyerang prolifik Thiago Augusto Fernandes pada separuh masa kedua merancakkan tempo serangan tuan rumah apabila hantarannya kepada Liridon berjaya disudahkan dengan baik namun berjaya dihalang penjaga gol lawan pada minit ke-46.

Bagaimanapun T-Team membuatkan lebih kurang 9,000 penyokong tuan rumah senyap seketika pada minit ke-56 apabila pertahanannya, Maiga Abdoulava Youssouf menanduk gol hantaran sepakan percuma Makan Konate untuk meletakkan pelawat 1-0 di hadapan.

Shane Edward Smeltz berpeluang untuk menjaringkan gol penyamaan buat Kedah pada minit ke-69 namun percubaanya hanya melintasi depan gol pelawat.

Baki 20 minit terakhir perlawanan jelas dikuasai oleh tuan rumah yang memburu gol penyamaan namun usaha mereka gagal sehingga wisel penamat. - SH