HASRAT pasukan berstatus kelab T-Team membawa bekalan selesa ke Stadium Tun Abdul Razak , Jengka pada 17 September depan tidak kesampaian apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika turun melayan kunjungan Felda United pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Tuan rumah yang bermula garang berjaya membuka jaringan awal menerusi rembatan kencang pemain muda, Mohd Safawi Rasid pada minit kedua perlawanan selepas bijak memanfaatkan hantaran Mohd Nor Hakim Hassan.
Jaringan itu nyata menyemarakkan lagi semangat kem The Titans dengan menggempur kubu pertahanan pelawat dan nyaris mengukuhkan kedudukan melalui sepakan penjuru Mohd Safawi Rasid namun tandukan Maiga Abdoulaye Youssouf gagal menemui pintu gol pada minit kelima.
Seminit selepas itu peluang keemasan tuan rumah untuk menambah jaringan sekali lagi dipersia-siakan Dilshod Sharofetdinov apabila sepakan percumanya berjaya dinafikan penjaga gawang Felda United,Mohd Farizal Harun.
Pelawat yang sesekali melakukan serangan ke gawang tuan rumah bagaimanapun gagal menembusi kekentalan benteng pertahanan yang dikawal ketat, kapten pasukan, Mohammad Hasbullah Awang dan gandingannya, Maiga Abdoulaye Youssouf.
Begitupun kerja keras pelawat hampir menemui jaringan penyamaan pada minit ke-20 menerusi sepakan penjuru yang dilakukan Mohd Hadin Azman tetapi gagal disudahkan dengan kemas Ahmad Syamim Yahya.
Meskipun beraksi di dalam hujan dan keadaan padang yang basah, kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan lebih berdisplin apabila terus melakukan asakan ke gawang masing-masing.
Kelalaian benteng pertahanan tuan rumah nyaris mengundang padah apabila pemain import pelawat, Zah Rahan Krangar berjaya memlepasi kawalan ketat dua pemain T-Team, sebelum melepaskan rembatan tepat ke gawang gol pada minite ke-39, namun berjaya diselamatkan Muhammad Ilham Amirullah.
Seminit sebelum tamat babak pertama perlawanan sorakan hampir 5,000 penyokong tuan rumah terus bergema apabila Mohd Asrol Ibrahim hampir menambah jaringan T-Team, namun peluang keemasan itu gagal dimanfaatkan setelah rembatannya berjaya diselamatkan Mohd Farizal Harun sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua menyaksikan tuan rumah memperkemaskan rentak permainan dan penyerang import T-Team, Makan Konate nyaris menjaringkan gol kedua skuad The Titans apabila bijak menyempurnakan hantaran, Mohd Nor Hakim Hassan tetapi Mohd Farizal bertindak cemerlang menafikan percubaan pemain kelahiran Mali itu pada minit ke-47.
Pelawat yang melancarkan serangan balas akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi ‘ayam tambatan’ Francis Forkey Doe pada minit ke-51.
Kedua-dua pasukan dilihat terus menggandakan asakan dan tuan rumah hampir kembali berada di depan menerusi gerakan cantik Mohd Safawi Rasid pada minit ke-66, bagaimanapun hantaran kemasnya di depan gol pelawat gagal dimanfaatkan Makan Konate.
Empat minit berselang, Dilshod Sharofetdinov berjaya memanfaatkan kekalutan di depan gawang pelawat setelah merembat masuk sepakan penjuru Mohd Asrul Ibrahim, bagaimanapun jaringan itu dibatalkan pengadil perlawanan Khairulazuan Kidam setelah pemain T-Team didakwa mengasari penjaga gawang pelawat terlebih dahulu.
T-Team yang cuba bangkit mencari gol kemenangan akhirnya terpaksa akur dengan keputusan seri itu selepas beberapa percubaan merbahaya di depan gawang gol pelawat berjaya dinafikan Mohd Farizal sehingga tamat perlawanan. - SH