Rekod Mendarat Penyu di Terengganu Meningkat


RANTAU ABANG - Rekod pendaratan penyu bagi tahun ini menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2015 iaitu pantai-pantai di seluruh negeri hanya menerima sebanyak 4,937 pendaratan atau sarang.

Satu perkembangan positif apabila dalam tempoh enam bulan pertama 2016, pendaratan penyu di Terengganu bermula dari Pulau Perhentian sehingga ke Geliga Kemaman dengan panjang pantai lebih kurang 260 kilometer (km) telah menerima 5,492 sarang dengan jumlah telur sebanyak 541, 776 biji.

Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Abd Halim Mat Noor berkata, usaha yang dilaksanakan sejak 10 hingga 15 tahun lalu menampakkan kejayaan dan ia dibuktikan dengan jumlah pendaratan penyu yang semakin meningkat.

“Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang menjaga seluruh Pantai Terengganu dan sehingga Jun 2016 kita telah menerima pendaratan penyu yang agak memberangsangkan.

“5,492 sarang yang diterima melibatkan kawasan 10 rizab Jabatan Perikanan sahaja tidak termasuk 36 lagi kawasan pantai pajakan dan keseluruhan membabitkan enam daerah iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut.

“Pada tahun lepas kita hanya menerima 4,937 sarang dalam tempoh 12 bulan iaitu dengan jumlah telur sebanyak 420, 589 biji.

“Lokasi paling tinggi pendaratan ialah Pulau Redang mendominasi kawasan pulau iaitu 1,711 sarang dan kalau di daratan Geliga Kemaman paling banyak iaitu 1,988 sarang.

“Di Rantau Abang terdapat 5,000 telur dari 57 pendaratan dan setiap sarang biasanya mengandungi 80 hingga 120 biji telur.

“Hasil pendaratan dan eraman telur pada tahun ini, kita sudah berjaya melepaskan 40,874 ekor anak penyu ke laut.

“Paling banyak spesies di Terengganu ialah penyu agar dan terdapat tiga lagi spesies iaitu karah, belimbing dan lipas,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pusat berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Katanya, jumlah pendaratan berkenaan hanya melibatkan spesies agar dan untuk keseluruhan dalam tempoh lima tahun menunjukkan turun naik tetapi masih dalam keadaan yang tidak membimbangkan.

“Pada 2013 mencatat persarangan penyu paling tinggi iaitu 7,192 dengan jumlah telur mencecah 621,821 untuk spesies agar, manakala 28 sarang dari spesies karah menghasilkan 3,449 telur.

“Pada 2014 berlaku penurunan dan 2015 semakin baik sehinggalah 2016 menunjukkan perkembangan positif iaitu 4,343 sarang dari spesies agar dan karah dengan telur sebanyak 363,701 pada 2014 dan 2015 semakin meningkat dengan persarangan sebanyak 4,955 daripada dua spesies dan menghasilkan 422, 751 telur.

“Seterusnya pada 2016 menunjukkan persarangan dan jumlah telur semakin baik serta dijangkakan meningkat menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Kematian penyu juga petanda positif

Bermula Januari hingga sekarang, masyarakat di negeri ini dikejutkan dengan kes kematian dan penemuan bangkai penyu yang agak membimbangkan.

Bagaimanapun, Abd Halim berkata, kematian penyu yang berlaku bukanlah satu petanda buruk menjurus kepada kepupusan makhluk itu tetapi ia juga satu petanda positif.

“Sebenarnya sekiranya ada pendaratan tinggi bermakna kematian penyu juga agak ketara.

“Untuk tahun ini sahaja kita sudah merekodkan sejumlah 79 kematian penyu dari spesies agar.

“Bagi tahun 2015, hanya 59 ekor sahaja kematian penyu direkodkan di seluruh pantai negeri ini.

“Bermula 2010 hingga 2016 sebanyak 307 kematian penyu telah direkodkan,” katanya.

Menurutnya lagi, bukan mudah untuk memastikan spesies penyu terus bertahan dan pendaratannya semakin meningkat kerana pelbagai cabaran juga perlu dihadapi tetapi melalui program serta kempen berterusan ia bukan perkara mustahil.

Beliau berkata, jumlah pelawat dan pelancong ke pusat konservasi Rantau Abang, MA’ Daerah serta pantai-pantai persarangan penyu menunjukkan satu perkembangan yang baik membuktikan haiwan dua alam itu adalah satu khazanah penting untuk industri pelancongan negara.

“Bagi tahun 2015 seramai 22, 260 pelawat diterima di pusat-pusat pemuliharaan penyu termasuk di Pusat Konservasi dan Kesedaran Penyu Rantau Abang serta Ma’ Daerah.

“Pelawat dalam negara adalah paling tinggi ke Pusat Penerangan Penyu Rantau Abang iaitu seramai 13, 611 dan 396 pelawat luar negara, selebihnya pelawat ke Ma' Daerah.

“Sehingga Julai 2016 menunjukkan jumlah pelawat yang agak memberangsangkan iaitu seramai 9,338 jumlah pelancong dari dalam dan luar negara telah mengunjungi pusat konservasi Rantau Abang , MA’ Daerah dan lain-lain kawasan pantai penyu.

“Diyakini jumlah pelawat akan lebih tinggi berbanding tahun lepas menjelang akhir 2016,” katanya.

Adakan program kesedaran/pendidikan secara berterusan 

Kata Abd Halim, pelbagai program pendidikan, kesedaran awam dan publisiti dilaksanakan bagi memastikan penyu terus menjadi salah satu tarikan utama utama untuk pelancong ke negeri ini.

“Program pendidikan dan kesedaran awam paling berjaya bagi 2015 ialah pelepasan anak penyu agar sebanyak 2,000 ekor oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu di Pantai Kerteh sempena program mencipta rekod Malaysia iaitu pembersihan pantai terpanjang.

“Selain itu, pelbagai lagi program termasuk bengkel peranti penyisih penyu ke atas nelayan pukat tunda musim tengkujuh (PTMT), kursus pemantapan warga Jabatan Perikanan Malaysia, kursus pengurusan hatceri daerah, gotong -royong dan kesedaran awam perdana 2015, latihan pemeriksaan sarang penyu dan banyak lagi.

“Bagi tahun ini pula antara yang dilaksanakan ialah gotong-royong di Pantai Penyu MA’ Daerah Kerteh melibatkan kira-kita 450 penduduk tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO), program integriti dan konservasi penyu di Rantau Abang serta MA’ Daerah.

“Kita juga menyertai pameran pesona Terengganu di Johor dan program-program kesedaran melibatkan pelbagai lapisan masyarakat serta status.

“Memang program pendidikan dan kesedaran diadakan secara berterusan supaya meninggalkan impak positif terhadap usaha yang dijalankan,” katanya. - SH