Pemain Dari Pantai Timur Dominasi Sepak Takraw League


Selepas berjaya membantu pasukan masing-masing layak ke perlawanan akhir acara berpasukan lelaki dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, pemain sepak takraw dari negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu dijangka akan terus “menggegar” gelanggang dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) nanti.

Jika prestasi semasa dan keputusan dalam SUKMA dijadikan ukuran, mungkin beberapa pemain dari kedua-dua negeri itu sekali lagi akan mengukir nama dalam saingan STL kali ini.

Pemain Terengganu yang dijangka mencuri tumpuan dalam saingan nanti adalah Irsyad Faiz dan Muhammad Azwan Muhrim.

Mereka telah berjaya membawa pasukan Terengganu mengekalkan pingat emas dalam acara berpasukan dalam Sukma baru-baru ini.

Menurut jurulatih Terengganu dalam saingan STL, Rosmadi Abdul Ghani, pasukan negeri itu sentiasa menitikberatkan pembangunan pemain muda.

“Pasukan Terengganu mencungkil pemain dari peringkat sekolah-sekolah sukan lagi.

"Dari satu peringkat ke satu peringkat hingga ke Sukma, jurulatih akan naikkan pemain-pemain terbaik ke peringkat tertinggi”.

Dia juga berkeyakinan Irsyad,yang diimport oleh sebuah kelab dari Thailand, Nakhorn Pathom, akan terus cemerlang dalam STL.

“Irsyad sudah tentu akan menyerlah. Dia sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

"Sebagai jurulatih, saya nampak dia adalah seorang pemain yang mempunyai potensi besar.

"Dari segi servis dan kawalan bola, dia mempunyai skil yang cukup baik”, kata Rosmadi yang pernah membimbing pasukan Terengganu merangkul pingat emas dalam Sukma di Perlis dua tahun lalu.

“Saya nampak dia juga adalah pemain yang akan mewakili Malaysia pada masa akan datang. Disiplin juga bagus, dia mematuhi segala arahan yang diberikan oleh jurulatih," tambahnya. - AA