MESKIPUN berjaya meloloskan diri daripada zon penyingkiran selepas mengikat kedudukan 1-1 ketika bertemu pasukan tercorot liga, Pahang Rabu lalu namun kedudukan itu dilihat masih belum memberi jaminan selesa buat Sang Penyu untuk terus kekal mengharungi kancah Liga Super musim depan.
Ini kerana skuad kendalian Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor itu terpaksa berdepan tugas lebih getir ketika bertemu pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (9 September) dan Kedah (24 September) sebelum bertemu Pulau Pinang (22 Oktober) yang kini hanya dipisahkan dengan satu mata selepas mengharungi 19 perlawanan.
Atas kertas dua perlawanan bertemu JDT dan Kedah dilihat agak sukar buat pasukan Terengganu untuk meraih mata penuh berdasarkan prestasi kedua-dua pasukan lawan yang ketika ini mempunyai rekod cemerlang dalam mengukuhkan kedudukan teratas saingan liga.
Begitu pun, Che Ku Marzuki atau lebih mesra dengan panggilan Jibang optimis kem bimbingannya itu mampu mengekalkan kedudukan mereka untuk terus beraksi dalam saingan Liga Super tahun depan.
BUKAN MUSTAHIL
MENURUTNYA, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil sekiranya setiap pemain turut memberikan komitmen terbaik masing-masing dan berusaha agar tidak kehilangan mata dalam tiga baki perlawanan tersebut.
Malah barisan pemain yang bakal menggalas tanggungjawab dalam baki perlawanan itu nanti jelas bukan sahaja dituntut menampilkan aksi terbaik mereka bahkan juga mengelak bermain secara individu yang dilihat menjadi salah satu punca kepada kemerosotan prestasi skuad Penyu sejak mengharungi kempen Liga Malaysia musim ini.
Apa-apa pun Jibang pastinya akan mempertaruhkan barisan terbaiknya bagi memastikan kem Terengganu tidak mencalarkan rekod terbaik mereka sebelum ini sehingga terpaksa ‘turun pangkat’ ke Liga Perdana musim depan.
Justeru, ruang masa yang lebih panjang untuk melakukan persediaan rapi menjelang tiga baki perlawanan itu bakal dimanfaatkan sebaik mungkin skuad Penyu bukan sahaja dalam mempertajamkan jentera serangan pasukan bahkan memperkemaskan kesemua posisi pasukan termasuklah mengembalikan semula semangat juang pemain yang sebelum ini sedikit pudar ekoran prestasi merudum.
PENYOKONG YAKIN
SEMENTARA itu, kebanyakan penyokong setia skuad Penyu masih menaruh harapan pasukan kesayangan mereka mampu bertahan untuk meneruskan aksi saingan Liga Super musim depan dan mengharapkan pemain mampu merealisasikan harapan mereka.
Azmi Alias, 35, mengakui walaupun tiga baki perlawanan itu dilhat agak mencabar, namun selaku penyokong tegar skuad Penyu, dia melahirkan keyakinan tinggi bahawa Terengganu mampu kekal berada dalam carta liga musim depan.
Begitu pun katanya, kem Terengganu bukan sahaja perlu menangani masalah dibahagian penyudah bahkan memastikan benteng pertahanan terus kental daripada dibolosi pihak lawan dalam ketiga-tiga perlawanan itu nanti.
“Insya-ALLAH sekiranya ia mampu ditangani segera permasalahan itu, saya yakin Terengganu mampu mengutip sekurang-kurangnya empat mata di penghujung saingan liga.
“Mungkin sukar buat Terengganu untuk menyaingi pendahulu liga, JDT tetapi pertemuan dengan Kedah dan Pulau Pinang skuad Penyu tidak boleh tercicir mata,” katanya.
Manakala, Rahmat Dol turut melahirkan pendapat yang sama, bagaimanapun mengharapkan Terengganu mampu mengutip tujuh mata dalam baki perlawanan tersebut.
Katanya, ia bukan sesuatu yang mustahil memandangkan Terengganu juga memiliki ramai pemain berpengalaman, bagaimanapun pemain perlu menunjukkan keiltizaman tinggi untuk terus kekal beraksi saingan liga.
“Melihat kepada perlawanan sebelum ini (dua perlawanan terakhir) memang kuat naluri saya mengatakan pasukan Terengganu akan terus kekal di Liga Super 2017.
“Saya percaya dengan semangat dan kesungguhan pemain selain perancangan lebih mantap dilakukan ketua jurulatih (Jibang), apa jua halangan dan rintangan yang berlaku pastinya dapat ditangani dengan terbaik,” katanya.
Bagi Wan Azhan Wan Ali , 44 pula mengharapkan pengurusan dan kejurulatihan skuad Penyu dapat terus memberi suntikan semangat bagi meningkatkan semula keyakinan pemain mengharungi tiga baki perlawanan dengan keputusan membanggakan.
“Sememangnya moral pemain sedikit terganggu ketika ini, malah bukan itu sahaja pemain juga tertekan dengan prestasi pasukan yang agak kurang memberangsangkan musim ini,” katanya. - SH