Operasi Mencari Mayat Bayi Dihentikan


KUALA TERENGGANU - Polis menghentikan operasi pencarian mayat bayi yang dikatakan dijumpai seorang pekerja Bangladesh di dalam longkang berhampiran Perpustakaan Awam Terengganu di sini, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, hasil perbincangan bersama Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia mendapati dakwaan pekerja lelaki berusia 19 tahun itu meragukan.

Beliau berkata, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu sudah menjalankan operasi mengikut prosedur ditetapkan sebaik menerima maklumat mengenai penemuan beg plastik berwarna merah putih yang didakwa terdapat seorang bayi.

“Operasi dijalankan bermula jam 6.30 petang hingga tengah malam tadi (malam kelmarin dan disambung semula jam 7 pagi tadi (semalam).

“Bagaimanapun, kita tidak menemui beg plastik yang dimaksudkan dan hasil perbincangan, operasi ini ditamatkan kira-kira jam 3 petang tadi (semalam).

“Mungkin pekerja terbabit tersilap pandang melihat objek yang didakwa seperti bayi itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, seorang pekerja Bangladesh dikenali sebagai Mohd Kobi Mohd Osman, 19, mendakwa ternampak mayat bayi di dalam plastik ketika sedang membersihkan longkang di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, dia yang terkejut bertindak mencampakkan semula beg plastik berkenaan sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada rakannya, Saidatul Islam Azim Mohd Ghulam Sofi, 35.

Dua sahabat itu kemudian memaklumkan kepada majikan mereka yang kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. - SH