KUALA BERANG: Majlis Sukan Negeri (MSN) diarah melakukan bedah siasat punca kemerosotan kutipan pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat berkata, kontinjen Terengganu hanya berjaya mengutip 47 pingat emas berbanding sasaran awal 53 pingat emas yang ditetapkan kerajaan negeri. Katanya, beberapa acara sukan iaitu olahraga, hoki, bola sepak dan silat gagal menyumbang pingat emas seperti disasarkan.
"Walaupun kerajaan negeri berpuas hati dengan kutipan pingat emas, perak dan gangsa, kegagalan menjuarai beberapa acara sukan menyebabkan sasaran 53 emas serta merampas kejuaraan tidak tercapai.
"Kita sudah arahkan MSN melakukan bedah siasat untuk mengenal pasti punca utama kemerosotan kutipan pingat seperti disasarkan gagal," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Ibrahim Mohamad. Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata, walaupun sasaran kutipan pingat tidak dicapai, kerajaan bangga kerana beberapa acara sukan baharu yang tidak dikenali seperti tinju, golf dan tenis berjaya menyumbang pingat emas.
Diminta mengulas mengenai insentif, Rozi berkata kerajaan negeri dijangka membelanjakan lebih RM1 juta untuk bayaran insentif kepada pasukan dan atlet yang berjaya mengutip pingat emas, perak dan gangsa pada temasya SUKMA yang berakhir Ahad lalu.
Rozi berkata, selain insentif seperti dijanjikan, pasukan dan atlet yang berjaya memperoleh pingat emas sudah menerima imbuhan lebih RM100,000 yang diberikan secara terus. Mengenai atlet memanah, Nur Aqilah Yusof yang dinobatkan sebagai olahragawati terbaik SUKMA selepas memperoleh tiga pingat emas, termasuk berjaya memecah rekod kebangsaan, Rozi berkata, kerajaan negeri akan memberi imbuhan lain yang akan diumumkan nanti.
Katanya, pengagihan insentif kepada pasukan dan atlet yang berjaya memperoleh pingat akan dilakukan selewat-lewatnya minggu depan. - BH