Kesilapan Berulang, Mustafa Kecewa Aksi Pemain


PEMANGKU ketua jurulatih Terengganu, Mustafa Kamal Abdul Wahab kecewa kekalahan 0-3 pasukannya kepada Felda United pada aksi Kumpulan D, kelmarin yang menyaksikan mereka tersingkir pada kempen Piala Malaysia.

Menurutnya, kekalahan itu amat menyedihkan apabila Terengganu gagal mencipta kebangkitan meskipun sudah mendapat suntikan semangat daripada Menteri Besar (Ahmad Razif Abd Rahman) yang kini memangku sementara pucuk pimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Ini satu keputusan yang amat mengecewakan, sepatutnya  pemain dapat melakukan satu transformasi membanggakan tetapi mereka gagal merealisasikannya pada perlawanan malam ini (kelmarin).

“Kita telah memberikan penekanan yang sewajarnya, namun pemain masih lagi melakukan kesilapan-kesilapan mudah sehingga mengganggu rentak permainan sekaligus mengundang padah buat pasukan,” katanya.

Mengulas lanjut kedudukannya bersama skuad Penyu, bekas ketua jurulatih Hanelang FC itu berkata, sekiranya khidmatnya masih diperlukan beliau akan terus memberi fokus untuk keluar daripada zon penyingkiran saingan Liga Super yang kini masih berbaki lima perlawanan.

“Walaupun penekanan telah diberikan, masih banyak kesilapan daripada segi bertahan dalam situasi bola mati yang menyebabkan rentak berubah menjadi negatif.

“Tempo kami agak perlahan pada awal permainan sehingga membenarkan pihak lawan menguatkan barisan tengah dengan menurunkan tiga pemain di posisi itu walaupun kami juga bermain dengan tiga pemain tengah.

“Pada babak kedua, saya cuba membuat perubahan untuk membuka ruang dan nampak sedikit berkesan tetapi saya tidak boleh menurunkan Ashari (Samsuddin) pada awal perlawanan kerana kecederaan," jelasnya.

Peluang terbaik Terengganu malam tadi hanya hadir pada minit ke-31 namun rembatan leret Issey Farran Nakajima mudah dinafikan penjaga gol pelawat, Mohd Farizal Harun.

Kemasukan Joseph Kallang Tie pada babak kedua sedikit membantu bahagian serangan tetapi percubaannya pada minit ke-65 pula sedikit tersasar.

Mohd Farizal terus menjadi penghalang kebangkitan Terengganu yang membuat asakan pada penghujung perlawanan menerusi Muhd Fakhrurazi Musa, Issey dan Norshahrul Idlan Talaha.

Tiga gol Felda United melalui Nor Fazly Alias (m-14), Francis Forkey Doe (m-44) dan Zah Rahan Krangar (m-77) meranapkan impian Terengganu untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia.

“Tumpuan akan diberikan kepada Liga Super dalam baki lima perlawanan lagi. Kami perlu mendapatkan mata sebanyak mungkin untuk kekal dalam saingan liga pada 2017." - SHAA