Bumbung Asrama Perempuan Tercabut


BESUT - Penghuni asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah dekat Alor Lintang di sini digemparkan dengan kejadian bumbung asrama  di sebuah blok asrama terangkat akibat ribut petang tadi.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Ab Halim Hassan berkata, dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan empat bilik asrama di bangunan tersebut terjejas.

Menurutnya, ketika kejadian terdapat beberapa pelajar di dalam bilik asrama masing-masing yang dihuni 64 pelajar daripada keseluruhan 170 Penghuni asrama perempuan.

"Hanya bahagian bumbung terangkat sedikit akibat dipukul namun siling tidak rosak. Kejadian itu menyebabkan bahagian dalam bilik dimasuki air hujan," katanya yang turut melawat temapt kejadian petang tadi.

Ab Halim berkata lagi, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan sementara pelajar terbabit di tempatkan sementara di bilik ulang kaji dan sebahagian lagi dibenarkan pulang dengan penjaga masing-masing.

Menurutnya, jumlah sebenar kerugian akibat kerosakan belum diketahui dan kerosakan akan dibaiki segera. - SH