Terengganu Menduduki Tangga Ke Sembilan Liga Super


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat kemenangan keempat dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi, sekali gus membawa pasukan itu keluar dari zon penyingkiran.

Pelawat bermula garang dan hampir mendahului pada minit ke-12 selepas kegopohan ketua pasukan Terengganu, Ahmad Nordin Alias, yang mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menyaksikan bola tiba di kaki pemain PDRM, Rocha da Silva Andre.

Ia membuka peluang kepada pemain import itu untuk membuat percubaan lambung, namun berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Mohd Amierul Hakimi.

Keampuhan benteng tuan rumah terus diuji menerusi penyerang PDRM, Guilherme De Paula, yang dua kali membuat serangan pada minit ke-14 dan minit ke-19, tetapi gagal menemui sasaran.

Corak agresif pelawat terus terserlah dan pada minit ke-25 hingga kem Terengganu terus cemas selepas rembatan leret Muhd Safuwan Baharuddin di dalam kotak penalti dinafikan tiang gol ketika Amierul hanya mampu melihatnya.

Tersentak dengan serangan PDRM, Terengganu mula mencipta gerakan dan peluang terbaik muncul pada minit ke-29 menerusi tandukan padu Norshahrul Idlan Talaha yang menerima hantaran Issey Farran Nakajima, namun percubaan itu sekadar tersasar.

Babak kedua menyaksikan PDRM terus ghairah mengasak kubu tuan rumah dan percubaan menarik Guilherme pada minit ke-55 berjaya diselamatkan Amierul.

Pelawat akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-58, apabila kegagalan barisan pertahanan Terengganu mengeluarkan bola dari sepakan penjuru, mudah ditanduk masuk Muhd Safuwan, hasil hantaran Mohd Fauzi Abd Majid dari sebelah kanan.

Sebelas minit kemudian, PDRM menjaringkan gol kedua, kali ini giliran Guilherme melepaskan rembatan leret kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan Amierul.

Pada minit ke-77, Terengganu mendapat peluang merapatkan kedudukan, namun sepakan percuma Issey mudah dibaca penjaga gol PDRM, Wilfred Jabun.

Kegagalan jentera serangan tengah tuan rumah terus menghampakan penyokong Sang Penyu, dengan barisan pertahanan PDRM diketuai Konate Souleymane kukuh mempertahankan kedudukan 2-0 sehingga tamat perlawanan.

Tiga mata penting ini membawa anak-anak buah Mohd Fauzi Pilus melonjak sekurang-kurangnya ke tangga ketujuh, berkongsi 17 mata dengan Kelantan dan Kedah, manakala Terengganu terus tergelincir ke tangga kesembilan dengan 16 mata. - AA


Kedudukan terkini carta Liga Super: