Terengganu Mahu Lahirkan Lebih Ramai Usahawan


KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri peruntukkan nilai tambahan RM500,000 menjadikannya RM1.5 juta bagi Program Usahawan Graduan Terengganu (PGUT) pada Siri ke-4 yang dijangka bermula September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud berkata, nilai tambahan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta itu diberi berikutan melihat kepada kejayaan tiga siri sebelum ini yang melahirkan seramai 64 usahawan daripada 83 peserta yang tamat latihan PUGT bermula Januari 2015 hingga Julai 2016.

“Kita menerima permohonan daripada 500 peserta tetapi setelah dipilih dan dinilai, hanya 95 peserta sahaja yang layak terlibat (PUGT) dan 83 tamat latihan manakala 64 daripadanya telah menjalankan perniagaan mengikut minat masing-masing.

“Kerajaan negeri mengharapkan usahawan ini teruskan usaha mereka memenuhi harapan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman kerana ini merupakan satu cetusan idea beliau menitikberatkan hala tuju anak-anak Terengganu setelah mereka memperoleh diploma dan ijazah serta demi masa depan mereka juga,” katanya pada Majlis Graduasi PUGT, di sini.

Menurut Roslee, graduan Terengganu boleh memikirkan usahawan merupakan agenda penting untuk mendapat peluang dari segi menambah pendapatan mereka.

Tambahnya, belia yang berumur bawah 40 tahun digalakkan memohon dan menyertai PUGT kerana kursus itu bukan sahaja memberi kursus semata-mata, malah turut dipantau selepas menjalankan perniagaan.

Roslee turut berharap, program itu berjaya melahirkan ramai usahawan lepasan graduan dan menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, selain dapat memberi impak besar kepada ekonomi negeri Terengganu dalam jangka masa panjang.

Ini dibuktikan dengan nilai jualan yang berjaya dikutip peserta ketiga-tiga siri PUGT yang telah menjalankan perniagaan mencecah RM4.1 juta dalam tempoh itu.

“Ada yang peroleh pendapatan antara RM100,000 hingga RM200,000 sebulan dalam perniagaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Roslee berkata, seramai tujuh usahawan jutawan disenarai dalam usaha menjejak usahawan jutawan seperti diumumkan sebelum ini.

Bagaimanapun, istilah jutawan yang diinginkan masih lagi dikaji sama ada menentukan usahawan jutawan itu dari segi kapasiti modal, aset yang ada atau lain-lain. - SH