Skuad Hoki Wanita Terengganu Mahu Ulangi Kejayaan Sukma 2012


Pasukan hoki wanita Terengganu bertekad mengulangi kejayaan manis meraih pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) Pahang empat tahun lalu, kali ini di Sukma Sarawak 2016.

Sebelum ini, di Sukma Perlis 2014, pasukan ini sekadar menduduki tempat keempat.

Justeru, mereka tidak mahu terus leka, malah percaya pingat emas yang dimenangi empat tahun lalu mampu diulangi untuk tahun ini.

Diundi dalam kumpulan A yang menyaksikan tuan rumah, Sarawak, dan Kuala Lumpur antara pasukan yang mampu memberikan saingan sengit, ketua jurulatih, Nordin Musa mahu pemainnya kekal fokus bagi merebut kembali gelaran juara.

"Pahang dan Sabah turut mampu memberikan saingan dalam Sukma kali ini, saya percaya dua pasukan ini telah melakukan persiapan rapi," kata Nordin.

Menjadi antara pasukan terawal yang tiba di Sarawak sejak dua hari lalu, Nordin menyifatkan anak buahnya telah dapat menyesuaikan diri sebaik-baiknya dengan sesi latihan yang padat.