Skuad Basikal Terengganu Sapu Bersih 10 Emas Lebuhraya Sukma Sarawak


Kuching: Pasukan berbasikal Terengganu terus bersinar di bumi kenyalang apabila menyapu bersih acara lebuhraya yang berakhir pada hari ini dengan mengutip dua lagi emas.

Walaupun keadaan cuaca hujan sepanjang hari mengakibatkan jalan basah, ianya bukanlah penghalang bagi pelumba-pelumba Terengganu untuk beraksi cemerlang dalam acara kriterium lelaki dan wanita.

Dalam acara kriterium lelaki yang berlangsung sejauh 63 kilometer (km) keseluruhan tersebut, dua atlet berbasikal Terengganu telah memenangi pingat emas dan perak melalui Asyraf Naim Ying serta Irwandie Lakasek dengan kutipan mata 20 dan 16 manakala gangsa pula dimenangi oleh pelumba dari Johor dengan mengutip lapan mata.

Asyraf Naim berkata, keadaan jalan basah merupakan perkara biasa bagi dirinya kerana sering melakukan latihan dalam keadaan sedemikian.

“Latihan yang dilakukan semasa di Thailand sebelum ini banyak membantu saya untuk mengatasi keadaan ini.

“Sempena hari lahir ibu esok, emas ini saya akan hadiahkan kepadanya yang banyak memberi sokongan serta menjadi tulang belakang dalam kejayaan saya pada hari ini,” katanya.

Bagi wanita pula, Nur Aisyah Mohamad Zubir telah menambah koleksi emas peribadinya apabila menang dalam acara sejauh 50.4 km keseluruhantersebut dengan mengutip 16 mata.

Berbeza enam mata, Siti Aisyah Alias dari Pahang muncul sebagai naib johan manakala pelumba dari Selangor, Farina Shawati Mohd Adanan merangkul pingat gangsa dengan mengutip Sembilan mata.

Berbeza pendapat dari Asyraf Naim, Aisyah yang telah mengutip lima emas dalam empat acara berkata keadaan jalan basah sedikit memberi cabaran bagi dirinya.

“Saya perlu lebih berhati-hati dalam keadaan ini kerana jalan lebih licin dan bimbang keadaan tidak diingini terjadi.

“Target saya hanyalah tiga emas sahaja iaitu dalam acara ujian masa individu, ujian masa berpasukan dan lepas beramai-ramai berpasukan namun dua emas lagi adalah bonus untuk diri saya untuk dihadiahkan kepada jurulatih yang banyak berkorban masa dan tenaga,” katanya.

Sukan berbasikal merupakan penyumbang terbanyak pingat untuk negeri Terengganu dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-18 setakat ini dengan kutipan 10 emas, dua perak dan tiga gangsa. - TK