Rahmad Darmawan Lega T-Team Raih Tiga Mata


Jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan lega perubahan taktikal dengan menyusun semula beberapa pemain di bahagian pertahanan membuahkan hasil, tiga mata dibawa pulang dari negeri Bumi Kenyalang.

Selepas satu seri dan satu kalah, Rahmad mampu menarik nafas lega tiga mata yang di cari-cari akhirnya ditemui di Stadium Negeri.

Pada awal permainan segalanya tampak sukar dan aksi hambar daripada kedua-dua pasukan memaksa jurulatih berdarah Indonesia ini melakukan perubahan.

"Bahagian pertahanan dan tengah terpaksa membuat kerja berseorangan sebelum ini tetapi hari ini saya meletakkan pertahanan tengah di bahagian tengah bagi menghulurkan bantuan," ujar Rahmad.

Sementara itu, jurulatih Sarawak, David Usop menganggap Skuad Ngap Sayut kini memerlukan magis jika mereka menyimpan hasrat untuk mara ke peringkat seterusnya.

Hasrat mencari kemenangan selesa di laman sendiri dinafikan T-Team, Sarawak mensia-siakan peluang terbaik untuk mencari tambahan mata.

"Buat masa ini, kami berada dalam situasi sukar kerana pasukan lain telah melakar kemenangan kecuali kami yang masih dengan satu mata, jadi kami perlu menang perlawanan selepas ini jika kami mahu mara, itu sahaja," ujar David. - AA