Polis Besut Tangkap Pemuda Miliki Pistol Dan Peluru


BESUT - Polis Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Besut berjaya menangkap seorang lelaki berusia 30 tahun kerana memiliki sepucuk pistol dan empat peluru hidup.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek ditahan pada 16 Julai lalu di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut di sini.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, suspek kelihatan bertindak mengeluarkan pistol dari bahagian belakang pinggangnya hingga mencetuskan pergelutan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas pistol yang dirampas, polis berjaya menemui empat butir peluru hidup jenis S & B 7.65BR", kata Mohd Zamri kepada media yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Polis Besut di IPD Kampung Raja di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal terhadap suspek, didapati dia mengambil pistol dan peluru berkenaan daripada kereta kawannya yang berasal dari Thailand ketika kereta rakannya itu terbabit dalam satu kemalangan di Kelantan pada November tahun lalu.

Katanya, suspek juga mengakui kedua-dua kawannya itu terbabit dalam jenayah curi kenderaan di negara ini.

Mohd Zamri berkata kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. - Bernama